BENCANA banjir akibat fasa peralihan Monsun Timur Laut yang berlaku di negeri ini termasuk Pahang kali ini di luar jangkaan kerana berlaku lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dalam keadaan musim yang tidak menentu disebabkan perubahan iklim dunia kini, bencana boleh berlaku bila-bila masa, sekali gus menuntut semua pihak bersedia lebih awal untuk menghadapi dan menanganinya dengan lebih berkesan.
Namun begitu, kerajaan sama ada Persekutuan dan negeri sudah pun mengambil langkah sewajarnya. Peruntukan besar juga diluluskan kepada negeri-negeri yang dikenal pasti memerlukan penumpuan kerana berpotensi sering menghadapi banjir.
Malah ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan hampir RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir akan datang.Ini termasuk lebih RM300 juta disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Peruntukan ini bagi membolehkan pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir melibatkan kerjasama semua kontraktor.
Peruntukan besar itu sudah tentu disambut baik kerana di samping perancangan pembangunan dilakukan, jelas kerajaan tidak lupa terhadap usaha mendepani dan menyelesaikan masalah banjir di negara ini saban tahun.
Bagi Pahang pula, sebelum ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan 40 projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan RM5.935 billion.Kelulusan itu melibatkan 28 projek sambungan dan 12 projek baharu termasuk projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pantai, bekalan air serta perkhidmatan pembetungan.
Kerajaan negeri Pahang juga menerima penyerahan tiga projek siap yang dilaksanakan PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk dua projek tebatan banjir bernilai RM108.96 juta.
Selain faktor cuaca yang tidak menentu ekoran perubahan iklim dunia kebelakangan ini, sudah tentu ada faktor bukan semula jadi yang boleh menimbulkan kesan terhadap persekitaran hingga menyumbang atau memburukkan keadaan banjir.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya bencana banjir termasuk faktor fizikal dan manusia yang perlu diberi lebih perhatian. Risiko banjir tidak hanya melibatkan kawasan tepi sungai, sebaliknya kawasan bandar juga terdedah kepada bencana itu seperti mana yang berlaku di Lembah Kelang baru-baru ini.
Kejadian banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur tidak lagi mengejutkan warga kota kerana bencana itu boleh terjadi apabila hujan lebat agak lama.
Pembangunan pesat dan tidak terkawal, kekurangan infrastruktur saliran, pembuangan sampah sarap tidak teratur dan penyenggaraan sistem perparitan yang tidak berjadual antara punca dikenal pasti kepada bencana itu yang perlu ditangani secara berkesan.
Justeru, kejadian banjir yang berlaku tahun-tahun sebelumnya boleh dijadikan kayu ukur untuk persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir lebih besar sepanjang tempoh MTL kali ini dan tahun-tahun akan datang.
Masalah banjir juga mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang amat mengambil berat dalam isu berkenaan.
Semasa berangkat melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Temerloh baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar projek tebatan banjir di negeri ini disegerakan demi keselamatan dan keselesaan rakyat. Baginda bertitah, perkara-perkara retorik perlu dikurangkan dan proses pembinaan perlu dipercepatkan.
Titah sebegitu bukan kali pertama, malah sewaktu pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan agar projek tebatan banjir tidak dipolitikkan, sebaliknya perlu dipandang serius dan diselesaikan secepat mungkin.
* Nik Amirulmumin Nik Min ialah Ketua Biro Sinar Harian Pahang