GAZA - Sebuah keluarga di tengah Gaza meluahkan rasa duka dan kesal yang mendalam selepas bantuan makanan yang dijatuhkan dari udara menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun.
"Kami sedang duduk di sini pada waktu pagi menikmati sarapan apabila pesawat menjatuhkan bantuan. Kami melihatnya dan begitu takut kerana ia jatuh dekat dengan khemah kami," kata Sami Ayyad kepada CNN dari Khan Younis di tengah Gaza.
Sami dan cucunya yang juga bernama Sami, berlari ke khemah sementara mereka yang berdekatan untuk berlindung, tetapi sebuah tin makanan jatuh dan menimpa kanak-kanak itu, menyebabkan dia meninggal dunia serta-merta, menurut datuknya.
"Mereka menjatuhkan payung terjun berisi bantuan dan bantuan itu membunuh anak-anak kami... untuk apa? Saya tidak mahu bantuan; anak saya sudah tiada," luah bapa kanak-kanak itu, Mahmoud Ayyad, kepada CNN.
Selain Sami yang meninggal dunia, ibu saudara dan sepupu mangsa yang berlindung di dalam khemah berkenaan turut cedera akibat bantuan udara tersebut.
Sepupunya mengalami kecederaan pada wajah, manakala kaki ibu saudaranya pula patah.
Bapa saudaranya, Mohammed membuka salah satu pakej bantuan dan menunjukkan isinya kepada wartawan CNN:"Ini yang anak kami mati – untuk kacang! Adakah ini maruah kami? Pek teh? Pek gula?" - Awani/CNN