PAPAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta ahli dan jenteranya tidak memikirkan soal gabungan bersama parti lain, sebaliknya beri keutamaan kepada persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah mahu jentera parti dikukuhkan terlebih dahulu dalam semua peringkat bagi memastikan BN bersedia untuk memenangi PRN akan datang.
"Tiada gunanya kita memikirkan soal kerjasama dengan parti lain, jika jentera parti kita lemah dan tidak terurus.
"Jika kita gagal mengatasi atau memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada ia akan mengundang kepada kekalahan," katanya ketika berucap merasmikan penutupan program perkampungan (retreat) UMNO Bahagian Papar, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Bung turut berkata, UMNO Sabah terbuka untuk kerjasama dengan parti gabungan lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tetapi rakyat Sabah.
"Kita banyak belajar dari proses gabungan sebelum ini jadi ia turut mematangkan UMNO Sabah, bagaimanapun sebarang keputusan untuk bergabung dengan parti lain ia tidak akan merugikan UMNO, yang penting UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai program berkenaan, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, retreat adalah untuk mengumpulkan jentera parti di semua peringkat untuk melaksanakan pelbagai perbincangan yang menjurus kepada strategi parti khususnya untuk menghadapi PRN.
"Melalui retreat, perbincangan dan saling bertukar idea mungkin boleh diguna pakai untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan jentera parti," katanya.