KEMENTERIAN Luar Palestin mengecam kegagalan komuniti antarabangsa untuk menghentikan peperangan dan genosid dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.
Menurut kementerian itu dalam satu hantaran di X, kegagalan ini memberi keberanian kepada Israel untuk terus meningkatkan jenayah perang secara kejam, terutama di Gaza Utara.
Katanya, dalam genosid terbaharu di Beit Lahiya, ia menjadi contoh jelas kekejaman yang meluas di mana penduduk awam terperangkap dalam pengepungan, pengeboman, dan kemusnahan tanpa mempunyai pilihan lain yang selamat.
Penduduk juga dipaksa untuk memilih melarikan diri di bawah serangan atau menghadapi kematian yang pasti, menjadikan situasi perang kini umpama perangkap maut.
Kementerian juga menegaskan bahawa Israel dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab secara langsung terhadap genosid yang sedang berlangsung, serta mendesak campur tangan segera daripada pihak antarabangsa untuk menguatkuasakan gencatan senjata dan menghentikan genosid.
Kementerian turut menuntut pelaksanaan segera resolusi Perhimpunan Agung PBB untuk mengiktiraf dan bertindak berdasarkan pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Selain itu, kementerian memberi amaran terhadap kebergantungan berterusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada kekuatan ketenteraan sebagai pengganti penyelesaian politik.
Ini kerana ia mengancam kredibiliti undang-undang antarabangsa dan institusi-institusi global yang masih wujud. - Awani