JKNT kerjasama dengan PDRM kuatkuasakan Akta 852

Iklan
Dr Kasemani memberi papan tanda larangan merokok kepada pekerja kedai serbaneka.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852).

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya memberi keutamaan terhadap operasi dalam aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak serta remaja.

Iklan
Iklan

"Operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan bagi membolehkan tindakan dikenakan berdasarkan undang-undang dan peranan agensi penguatkuasa lain.

"Jika operasi secara berkolaborasi terutama melibatkan PDRM maka ia membolehkan pihak berkuasa terbabit melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap cecair dalam rokok elektronik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Cakna Akta 852 di Kuala Terengganu City Mall (KTCC) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani menyatakan operasi yang akan dijalankan turut memberi penekanan kepada penjualan vape atau rokok elektronik melibatkan reka bentuk menyerupai alat tulis di pasaran antaranya seperti pen penanda, pen papan putih serta gam.

Dr Kasemani melakukan advokasi kepada pekerja di sebuah pasar raya.

Iklan

Beliau berkata, aspek yang akan dikuatkuasakan serta-merta bagi mengekang penjualan produk merokok berbentuk permainan yang boleh menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja.

"Tindakan serta-merta akan dikuatkuasakan juga melibatkan pengiklanan dan promosi serta tajaan semua jenis produk merokok malah tempat larangan penjualan produk merokok termasuk rokok elektronik di institusi pendidikan dan pasar jualan.

"Ketika aktiviti advokasi pendidikan diadakan, kita tidak menemui produk merokok berbentuk permainan," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, seramai 325 pegawai dan anggota penguatkuasa JKNT sudah digerakkan melaksanakan operasi di bawah Akta 852, yang dikuatkuasa sejak awal bulan ini.

"Pegawai dan anggota penguatkuasa JKNT memulakan aktiviti advokasi pendidikan serta sesi penerangan berkaitan dengan Akta 852.

"Sejak awal bulan hingga Sabtu lalu, kita sudah melakukan 249 operasi di 2,632 premis bagi melaksanakan sesi penerangan dan pendidikan kepada pemilik premis di kedai penjualan produk merokok serta rokok elektronik.

"Penguatkuasaan Akta 852 membabitkan beberapa aspek yang dikuatkuasakan secara serta-merta," jelas beliau.