PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hak kebebasan bersuara para akademia universiti akan terus dipertahankan selagi ia berasaskan disiplin dan penyelidikan masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, beliau tidak mahu sebarang tindakan yang diambil pihak universiti termasuk Akta 605 Akta Badan- Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) akan mengekang golongan itu untuk memberi pandangan dan melontarkan idea.
"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa kebebasan akademia di universiti tetap dipertahankan," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Akademia 2024, di sini pada Isnin.
Ujar beliau, setiap pekeliling yang hendak dikeluarkan sama ada dari pihak Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan sebagainya perlu melihat dalam konteks universiti.
"Seperti yang saya sebutkan tadi, universiti merupakan tempat yang agak berbeza dari segi budaya dan ekosistemnya.
"Kita tidak mahu setiap arahan yang dikeluarkan itu ditafsirkan sebagai mengekang hak dan juga kebebasan akademia dalam sebuah universiti," jelas beliau.
Sebelum ini, tular memo Jabatan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertarikh 8 Oktober yang menyatakan peringatan kepada semua pegawai awam berkanun untuk tidak mengeluarkan kenyataan secara lisan dan bertulis termasuk di media sosial.
Bagaimanapun UKM menerusi kenyataan berasingan menafikan perkara itu malah meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.
Sementara itu, Zambry berkata, golongan intelektual tidak boleh terperangkap dalam kelompok elit dan mesti mempunyai kebebasan untuk membentuk idea dan pengetahuan.
"Kalau tidak ada itu, bermakna kita tidak akan mampu melahirkan idea-idea yang baik dan tanggungjawab sosial (terhadap rakyat)," katanya.
Tambah beliau, meskipun hasil kajian ahli akademia menimbulkan rasa tidak selesa terhadap pihak-pihak tertentu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kebebasan golongan itu.
"Walaupun kita tahu bahawa hasil daripada kajian mereka itu tidak baik ataupun kritikal untuk pihak-pihak tertentu, bagi saya jangan dijadikannya sebagai satu alasan untuk mengekang kebebasan ahli-ahli akademik.
"Ahli akademia tidak akan bercakap semberono tetapi kita akan pastikan apa yang dicakapkan atau dizahirkan itu berdasarkan kepada disiplin, fakta dan bukti masing-masing," katanya.
Ditanya adakah KPT bercadang untuk meminda Akta 605, Zambry berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut.
"saya ingin melihat juga dalam konteks Akta 605 ini apakah ada pengecualian-pengecualian yang boleh diberikan dan saya akan lihat secara detail kerana kita difahamkan ada beberapa perkara dikecualikan kepada institusi tertentu, jadi kalau itu asasnya, maka adalah wajar juga untuk kita melihat semula ke dalam," katanya.