Maritim Terengganu tahan bot penumpang bawa pelancong tanpa lesen

Iklan
Maritim Terengganu menahan sebuah bot penumpang tiada nombor pendaftaran yang beroperasi tanpa lesen di sekitar perairan Pulau Perhentian.

BESUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan sebuah bot penumpang tiada nombor pendaftaran yang beroperasi tanpa lesen di sekitar perairan Pulau Perhentian di sini pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, penahanan itu dibuat pada kedudukan sekitar 11 batu nautika timur laut dari Muara Kuala Besut, di sini pada jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bot penumpang tersebut telah ditahan oleh bot peronda Maritim Negeri Terengganu dalam satu siri Op Iman yang dilaksanakan di sekitar perairan Pulau Perhentian.

Penahanan bot dibuat pada kedudukan sekitar 11 batu nautika timur laut dari Muara Kuala Besut, di Besut.

"Ketika diperiksa, bot itu sedang membawa lapan orang pelancong luar negara dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Rawa bagi menjalankan aktiviti pelancongan.

Iklan

"Kesalahan yang dilakukan adalah serius di mana pengabaian aspek keselamatan berlaku bukan sahaja terhadap operator bot malah turut membabitkan penumpang yang dibawa. Jadi tiada kompromi dalam soal keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Khairulanuar berkata, bot bersama operator ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insurans tamat tempoh.

Ketika diperiksa, bot itu membawa lapan orang pelancong luar negara dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Rawa.

Iklan

Justeru, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut supaya mematuhi undang-undang serta peraturan telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya, orang ramai serta komuniti maritim diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 yang beroperasi 24 jam.