Kelantan negeri kedua paling selamat di Malaysia

Iklan
Mohd Nassuruddin dalam hantaran di Facebooknya meluahkan rasa syukur selepas Kelantan dilaporkan sebagai kedua paling selamat di Malaysia.

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam hantaran di Facebooknya meluahkan rasa syukur selepas negeri ini dilaporkan sebagai kedua paling selamat di Malaysia.

Beliau berkata, maklumat tersebut hasil laporan terkini mengenai kadar jenayah di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Malay Mail yang dikongsi oleh The Vocket.

Iklan
Iklan

"Kelantan tangga kedua negeri paling selamat di Malaysia. Kita bersama membina Kelantan Maju Rakyat Sejahtera, insya-ALLAH," katanya pada Ahad.

Menurut kenyataan tersebut, Sabah mencatatkan indeks jenayah paling rendah dengan skor 95, menjadikannya negeri yang paling selamat di negara ini pada tahun 2023.

Iklan

Kedudukan kedua dipegang oleh Kelantan dengan indeks jenayah 96, manakala Terengganu berada di tangga ketiga dengan skor 100.

Merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Malay Mail, tahap jenayah di Malaysia dilaporkan meningkat sebanyak 3.2 peratus tahun lalu, dengan indeks jenayah keseluruhan yang melibatkan kes serangan dan jenayah harta benda naik kepada 52,444 kes berbanding 50,813 kes pada tahun sebelumnya.

Iklan

Ini bermakna kadar jenayah bagi setiap 100,000 penduduk turut meningkat kepada 149 berbanding 146 pada tahun 2022.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, terdapat lima negeri yang mencatatkan kadar jenayah lebih tinggi daripada purata nasional.

Kuala Lumpur mencatatkan angka tertinggi dengan kadar 221, diikuti oleh Selangor dengan 196, Kedah dan Pulau Pinang masing-masing dengan 193, serta Negeri Sembilan dengan kadar 159.

Untuk rekod, pada pertengahan tahun ini Malaysia berada pada kedudukan ke-10 sebagai negara paling selamat di dunia secara keseluruhan dalam Kedudukan Indeks Keamanan Global (GPI) 2024.

Laporan yang diterbitkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan yang berpangkalan di Sydney, Australia ini turut mengangkat Malaysia sebagai negara ketiga paling selamat di Asia Pasifik, di belakang New Zealand dan Singapura.

Pencapaian ini dipengaruhi oleh beberapa faktor global yang menyaksikan kemerosotan tahap keamanan di 97 negara akibat konflik di Gaza dan Ukraine.

Konflik ini juga menyumbang kepada peningkatan pelarian, yang seterusnya memberi impak besar kepada ekonomi global dan meningkatkan tahap keganasan kepada 19.1 trilion pada tahun 2023.