10 prinsip pembangunan semula bandar lindungi pemilik - Kor Ming

Iklan
Kor Ming ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) bakal dilaksana dengan berpaksikan kepada 10 prinsip bagi memastikan kepentingan pemilik dilindungi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan, pihaknya melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC) telah melaksanakan Analisis Kesan Peraturan (RIA) dan telah menyediakan laporan Kenyataan Kesan Peraturan (RIS).

Iklan
Iklan

"Kerajaan komited memastikan prinsip-prinsip ini dipenuhi iaitu persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal, perlindungan kepentingan pemilik tanah dan kos caj penyenggaraan, penempatan sementara yang kondusif serta penilaian kriteria tapak pembaharuan semula bandar.

"Selain itu prinsip juga merangkumi guna tanah yang efektif, penilaian terperinci tapak, penambahbaikan penggunaan teknologi, pelaksanaan pembangunan mengikut prosedur dan peruntukan perundangan sedia ada serta pembangunan berfasa," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai kajian dan analisa kos manfaat yang telah dijalankan berhubung penggubalan Akta PSB.

Dalam pada itu Kor Ming menjelaskan, kerajaan akan berunding dengan pemilik bersama badan pelaksana dan pemaju yang dilantik semasa permulaan proses PSB dibuat.

Iklan

Menurutnya, proses rundingan akan diadakan sehingga semua pihak bersetuju dengan syarat-syarat dan kehendak pemilik terlibat.

"Bagi memperkukuhkan perlindungan ke atas hak dan kepentingan pemilik hartanah, satu Jawatankuasa Mediasi boleh ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan projek PSB," jelasnya.

Sementara itu Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memaklumkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Dasar kepada Kabinet bagi cadangan penggubalan RUU PSB pada 14 Ogos lalu.

Selain itu beliau berkata, pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Parlimen diadakan pada 17 Oktober lalu khusus untuk mendapatkan pandangan ahli-ahli Dewan Rakyat di dalam JKPK.

"Sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan diadakan pada bulan November ini agar keperluan khusus mereka turut diberi perhatian, mengambil kira keunikan kawasan dan geografi," jelasnya.