SETIU - Majikan diingatkan supaya tidak meletakkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan sebagai gaji permulaan kepada pekerja di semua sektor pekerjaan terutama graduan lepasan universiti.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menjelaskan gaji minimum adalah bukan gaji permulaan ditetapkan kepada semua pekerja khususnya graduan sebaliknya ia merupakan gaji dibayar kepada pekerja asas dengan kelayakan akademik rendah termasuk sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).
"Saya nak tekankan bahawa gaji minimum ini bukan gaji permulaan. Jangan lihat gaji minimum ini sebagai gaji permulaan khususnya kepada graduan.
"Jadi kita sarankan supaya berikan gaji setimpal kepada kemahiran dan kelulusan akademik yang ada (graduan lepasan universiti).
"Jangan guna gaji minimum ini sebagai penanda aras kepada gaji permulaan kepada semua pekerja. Gaji minimum adalah gaji kepada kerja paling asas iaitu melibatkan kelayakan akademik dan kemahiran rendah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Wilayah Timur di sini pada Isnin.
Justeru, Sim menyarankan kepada majikan supaya memberikan gaji setimpal berdasarkan tahap kemahiran dan kelulusan akademik dimiliki pekerja tersebut.
"Kalau ada kemahiran, ada kelulusan akademik tinggi, saya sarankan syarikat berilah gaji yang setimpal dan ini untuk kebaikan syarikat juga.
"Ini kerana kalau tidak diberi gaji munasabah maka akan terjadi kes-kes seperti penghijrahan individu berkemahiran tinggi atau brain drain dan sebagainya. Jadi kita tak dapat pekerja yang baik serta tidak mempunyai bakat tenaga kerja berkualiti," jelasnya.
Dalam pada itu, Sim berkata, pihaknya menekankan bahawa pemberian gaji harus diselaraskan dengan kelayakan akademik, peranan kerja serta kemahiran yang ada.
"Kita juga laksanakan Dasar Gaji Progresif di mana mengalakkan syarikat membayar gaji yang dianggap progresif iaitu pembayaran gaji lebih tinggi terhadap pekerja," ujarnya.
Menurutnya, ia sebagai rujukan pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan.
"Ia adalah rujukan berdasarkan senarai pekerjaan berkemahiran sebagai contoh berapa jumlah gaji permulaan bagi jurutera mekanikal dan jurutera elektronik sebagai contoh gaji permulaan bagi jurutera adalah lebih dari RM2,000 dan bukannya RM1,700.
"Panduan gaji ini buat kali pertama kita laksanakan supaya panduan itu bukan sahaja terhadap majikan tetapi juga pekerja yang ingin membincangkan gaji yang diterima nanti," ujarnya.
Sementara itu, Steven juga menegaskan bahawa mana-mana majikan diingatkan tidak melanggar perintah Gaji Minimum yang sudah ditetapkan.
"Saya sarankan mana-mana pihak yang ada maklumat tentang pelanggaran undang-undang perburuhan tidak kira berkaitan gaji minimum dan sebagainya untuk tampil membuat laporan di Kementerian Sumber Manusia khususnya Jabatan Tenaga Kerja.
"Kita akan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap masalah tersebut selain tidak akan berkompromi dari segi kebajikan pekerja dan hak pekerja," katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Anwar berkata, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja contohnya gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pekerja Kandungan Kreatif (RM2,985).
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat lepas berkata, kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum itu membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan.