Dua bekas pengarah syarikat didakwa tawar skim pelaburan tidak berdaftar

Iklan
Mahkamah Majistret di sini menetapkan 25 November untuk sebutan kes ugutan jenayah, melibatkan seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan GISBH berikutan permohonan supaya tuduhan itu dikaji semula. Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Dua bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menawarkan skim kepentingan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kedua-duanya menghadapi empat pertuduhan menawarkan skim pelaburan tanaman halia tidak berdaftar kepada orang awam antara dua hingga empat tahun lalu.

Iklan
Iklan

Mereka membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Sesyen Butterworth dan Mahkamah Sesyen Georgetown di sini.

SSM dalam satu kenyataan berkata, tertuduh, Datuk Dr Jessie Tang dan Dr Tan Eng Heong membuat pengakuan itu ketika pendakwaan dijalankan terhadap mereka pada 10 Oktober lalu di hadapan Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Georgetown.

Iklan

Sementara di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 Georgetown pula, pengakuan dibuat di hadapan Hakim Irwan Suainbon manakala di Mahkamah Sesyen Butterworth, mereka membuat pengakuan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, Jessie Tang dan Eng Heong secara niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, telah membuat penawaran satu skim pelaburan tanaman halia di Sabah iaitu Ginger Contract Farming melalui syarikat Asiana Bestari Sdn Bhd kepada orang awam.

Iklan

Skim itu didapati tidak didaftarkan dengan SSM di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.

Kesalahan yang didakwa ini masing-masing telah dilakukan pada 6 Oktober 2021 di Butterworth serta 9 Disember 2020 dan 6 April 2022 di George Town.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 3(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta yang sama dengan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen Georgetown kedua-dua hakim membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM25,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan 12 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Bagi kesalahan yang didakwa dilakukan di Butterworth pula, Hakim Noor Aini Yusof tidak mengenakan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira rekod jaminan yang dikenakan di Mahkamah Sesyen Georgetown.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan SSM untuk memindahkan kedua-dua kes ke Mahkamah Sesyen Georgetown.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, Faizal Mahdi Mahmud dan Nurul Husna Mohd Yusof.

Sementara tertuduh diwakili oleh peguam Haziq Dhiayauddin Razali dan Aiman Abdul Rahman.

SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

"SSM juga mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat serta pengesahan lanjut daripada pihak SSM atau badan penguatkuasaan lain mengenai skim pelaburan atau kepentingan yang mencurigakan yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat atau perniagaan," katanya.