LBS raih Anugerah ‘Top Of The Chart’ MDA 2024

Iklan
Ketua Kelestarian Kumpulan LBS Bina Group, Shany Lim (tiga dari kiri), menerima anugerah berprestij’ Top 10 under Market Cap Above 1 Billion’ bagi pihak LBS daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (empat dari kiri).
SHAH ALAM - Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) melakar kejayaan apabila meraih Anugerah Malaysia Developer Awards 2024 (MDA),dalam satu majlis di sebuah hotel, di Kuala Lumpur, semalam.

LBS diiktiraf dengan anugerah berprestij, ‘Top of The Chart’ iaitu menduduki di tangga 10 terbaik dalam kategori modal pasaran bagi syarikat yang melebihi RM1 bilion.

Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen berterusan LBS dalam membangunkan hartanah berkualiti tinggi dengan pendekatan inovatif di samping memajukan amalan kelestarian secara bertanggungjawab dalam kesemua projek dan usaha yang dilakukan.

Inisiatif bersama Kumpulan Media Star dan FIABCI-Malaysia, MDA dianggap sebagai penanda aras industri yang mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang dengan modal pasaran yang signifikan, prestasi kewangan yang kukuh, tadbir urus yang cekap dan pertumbuhan yang berterusan dalam sektor pembangunan hartanah.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, berkata, ia merupakan satu penghormatan bagi LBS yang diiktiraf dan tersenarai di antara sepuluh pemaju terbaik di Malaysia.

"Anugerah ini mencerminkan daya tahan kewangan kami dan komitmen terhadap pertumbuhan yang lestari. Perkembangan terbaru kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharui selaras dengan matlamat alam sekitar Syarikat di samping mengukuhkan asas untuk membina masa depan yang mampan dalam sektor pembangunan hartanah.

"Inisiatif strategik ini membuka jalan untuk pertumbuhan berterusan sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju di pasaran. Kami tetap komited untuk mencipta nilai bagi pemegang berkepentingan dan memberikan impak yang positif terhadap kelestarian alam sekitar,”katanya.