Gegaran di Ipoh: Polis sahkan tiada latihan libatkan letupan, aktiviti kuari

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azizi

IPOH - Polis Perak mengesahkan gegaran dan bunyi dentuman kuat yang berlaku di sekitar Ipoh pada Isnin bukan berpunca daripada latihan letupan pasukan keselamatan atau aktiviti kuari.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semakan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta mendapati, tiada sebarang latihan berkaitan letupan dijalankan anggotanya hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat diberikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga menunjukkan tiada letupan dilakukan di kuari sebelum jam 12 tengah hari.

"Polis menerima maklumat berkaitan bunyi letupan dan gegaran berlaku di daerah Ipoh pada jam 11.06 pagi tadi.

Iklan

"Semakan juga telah dibuat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dan daripada laporan diberikan mengesahkan daerah ini tidak terkesan dengan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Iklan

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073.

Sinar Harian melaporkan satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar Ipoh antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Gegaran yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.