Tiga penuntut warga Sierra Leone didakwa miliki AS$400 palsu

Iklan
Ibrahim (dua dari kiri), John (kanan) dan Sorie (tiga dari kiri belakang) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, bagi menghadapi satu pertuduhan memiliki wang kertas AS$400 palsu, hampir tiga minggu lalu.

KUALA LUMPUR - Seramai tiga penuntut kolej swasta warga Sierra Leone, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan memiliki wang kertas AS$400 palsu, hampir tiga minggu lalu.

Ibrahim Jalloh, 25; John Morovia, 30 dan Sorie Brima Caulker, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris, di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Ibrahim bersama John dan Sorie didakwa ada dalam milikan, empat wang kertas AS$100 dengan mengetahui ia palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai tulen, di sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini pada 2 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Saravanan Meyappan tidak mencadangkan semua tertuduh diberi ikat jamin kerana kes itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, saya mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.

Iklan

"Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi kes,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Nurul Diyana Basher merayu semua anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah, dengan alasan mereka masih belajar dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka bersedia untuk memenuhi syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

"John berada di Malaysia sejak dua tahun lalu sementara Sorie Brima baru dua bulan,” katanya.

Jika mahkamah tidak membenarkan jaminan, beliau berkata, ia akan menjejaskan pengajian ketiga-tiga penuntut ini.

Menurutnya, tawaran jaminan yang dicadangkan pendakwaan terlalu tinggi sedangkan nilai wang dalam pertuduhan, jika ditukar kepada wang Malaysia, hanya melibatkan lebih RM1,000 sahaja,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azura membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, cubaan tiga warga Sierra Leone menjual wang palsu dolar Amerika Syarikat kepada pembeli tempatan gagal selepas diberkas polis dalam serbuan di ibu negara.

Mereka yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu yang memasuki Malaysia sebagai pelajar di sebuah kolej universiti swasta di Selangor pada 2022 dan 2024, ditahan di sebuah kondominium, 2 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek dipercayai memulakan kegiatan itu sejak awal tahun ini dengan cara membeli wang palsu menerusi aplikasi media sosial pada harga hanya RM6.97 untuk 10,000 keping nota AS$.

Ramli berkata, sindiket terbabit dipercayai mendapat bekalan wang palsu daripada China.