Tidak boleh bangga dengan data ekonomi, kena sedar realiti rakyat - Hamzah

Iklan
Hamzah ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya tidak menjadi seperti kerajaan 'lembu kenyang' dan terus berbangga dengan data-data ekonomi seperti kadar inflasi 1.9 peratus.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sepatutnya sedar realiti rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang masih tinggi.

Iklan
Iklan

"Realitinya sehingga ke hari ini, bekalan beras tempatan masih tidak selesai, peluang pekerjaan setimpal dengan kelayakan rakyat pun masih kurang.

"Tolonglah, bantulah. Kami (ahli Parlimen) hanya mahu menyuarakan rintihan rakyat. Bagilah apa sahaja bantuan kepada rakyat, kami sokong. Beri yang sebaik mungkin dan jangan menzalimi rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut memetik kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini yang mendapati lapan daripada 10 isi rumah di Malaysia menghadapi cabaran kewangan untuk mencukupkan keperluan asas, manakala 90 peratus masih terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Malah menurutnya, sudah menjadi perkara biasa ketika ini bagi seorang ketua keluarga yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Iklan

Selain itu ujarnya, ramai dalam keluarga berpendapatan rendah (B40) makan satu atau dua kali sahaja sehari akibat tekanan hidup selain pekerja terpaksa membawa bekal makanan ke pejabat akibat kekangan kewangan.

"Setiap kali belanjawan dibentang, rakyat sebenarnya mengharapkan kos sara hidup rendah, peluang pekerjaan dan ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang berkualiti, perumahan mampu milik, jaminan sosial kuat dan kemudahan infrastruktur lebih baik," tegasnya.

Sementara itu Hamzah turut menyambut baik inisiatif kerajaan memberi bantuan kepada peniaga yang akan menggunakan e-invois dalam transaksi perniagaan.

Namun beliau mengingatkan kerajaan supaya perkara itu dinilai secara lebih meluas termasuk apabila gaji minimum RM1,700 dilaksanakan.

"Kalau dilihat dari segi PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan kos yang terpaksa dilabur untuk membuat e-invois, masalahnya akan membebankan mereka.

"Perlu lihat sektor mana, waktu bila dan kepada sektor mana yang harus (dikenakan) untuk menaikkan gaji minima," ujarnya.