KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dasar Sosial Negara 2030 (DSN 2030) yang diluncurkan hari ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang lebih sejahtera, inklusif dan progresif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, DSN 2030 yang merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, akan menetapkan hala tuju sosial negara serta mengenal pasti dan menyelesaikan isu sosial secara holistik.
"Insya-ALLAH, jika pelaksanaan dasar disulami langkah penguatkuasaan dapat dilakukan secara sempurna, saya percaya ia membawa Malaysia mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah tidak lama lagi,” katanya pada majlis peluncuran DSN 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina, Sidek turut hadir.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN) berkata, tahap kemajuan Malaysia tidak seharusnya diukur hanya melalui pembangunan ekonomi atau infrastruktur semata-mata, tetapi perlu merangkumi nilai kesejahteraan sosial serta mengambil kira pencapaian sosial dan insaniah.
Katanya, kerajaan menyedari bahawa pembangunan mampan memerlukan keseimbangan, dan dalam usaha mengejar pertumbuhan ekonomi, negara perlu melabur dalam kesejahteraan sosial melalui dasar menggalakkan peluang ekonomi serta memastikan pengagihan sumber yang adil, akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial.
Beliau berkata, DSN 2030 sangat relevan dalam usaha mengimbangi pembangunan ekonomi dan sosial, sekali gus berfungsi sebagai payung besar yang menyokong usaha dan strategi kerajaan untuk memperkukuh pembangunan sosial, seterusnya menjadikan Malaysia lebih makmur dan sejahtera
Bermula dengan DSN pertama pada 2003 dan diperkukuh dengan penubuhan MSN, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan langkah strategik dan bersepadu bagi menangani masalah sosial.
Ketika mempengerusikan MSN pada 2017, beliau menggariskan empat elemen penting digariskan iaitu memperkukuh pendidikan agama, memperkasa institusi kekeluargaan untuk membimbing anak-anak, memupuk nilai moral dalam komuniti serta menyokong platform penyelidikan bagi memahami dan mencari penyelesaian terhadap isu sosial.
"Pada hari ini, dalam mendepani arus teknologi digital dan komunikasi termasuklah perkembangan kecerdasan buatan (AI), satu pendekatan baharu perlu diperkuatkan dalam menangani isu sosial dan mengangkat agenda ini demi mencapai aspirasi kemakmuran negara,” katanya.
Menerusi MSN, beliau berkata, antara cadangan bagi menangani masalah sosial secara lebih menyeluruh dan berkesan dalam konteks dunia digital yang kompleks adalah mewujudkan Platform Perkhidmatan Sosial Digital bagi menggabungkan semua perkhidmatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, langkah itu boleh bertindak sebagai pusat sehenti untuk sokongan kesihatan mental, kebajikan, peluang pekerjaan dan pendidikan dengan menggunakan bantuan berasaskan AI untuk padanan perkhidmatan.
Di samping itu, beliau mencadangkan penubuhan pusat latihan literasi digital dan inkubator keusahawanan sosial bagi bersama-sama menangani isu sosial seperti jurang pendidikan, kemampanan alam sekitar, dan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar.
Cadangan lain termasuk mengintegrasikan kesihatan mental di tempat kerja melalui pelaksanaan Pensijilan Kesihatan Mental, yang merangkumi penyediaan dasar sokongan seperti waktu kerja fleksibel dan perkhidmatan kaunseling. Selain itu, penggunaan analisis data untuk mengesan dan meramalkan ancaman buli siber dan penipuan dalam talian secara proaktif, serta intervensi melalui media juga disarankan. - Bernama