Polis kenal pasti nama individu kurung anak Abuya

Iklan
Laporan Sinar Harian

JERANTUT - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan sudah mengenal pasti nama empat individu didakwa mengurung anak bekas pemimpin al-Arqam, Ummu Atiyah Ashaari, 41, yang menjadi mangsa keganasan seorang pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menurutnya, nama individu terbabit yang berusia lingkungan 20 tahun ke atas dikenal pasti berdasarkan laporan yang dibuat serta menerusi YouTube seperti yang dinyatakan oleh mangsa.

Iklan
Iklan

"Siasatan masih berjalan untuk mengesan mereka dan kalau sesetengah orang cakap kita (polis) tergesa-gesa, kita tidak tergesa-gesa dan bukan ada sesuatu terus tangkap.

Razarudin (kiri) dan Abdul Kadir (tengah) dan Ribuan bersama buku OBK yang turut dilancarkan sempena mesyuarat tersebut.

"Itu anggapan luar sana mungkin silap, siasatan dijalankan sekiranya ada tangkapan.

Iklan

"Buat masa ini kita akan mencari dan mengesan mereka untuk bagi keterangan dan jika boleh tangkap tanpa waran akan dibuat untuk menyelesaikan siasatan," katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sebuah resort di Taman Negara di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Ribuan Abdullah.

Dalam pada itu, Razarudin juga tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain turut menghadapi nasib sama seperti anak sulung Ashaari.

Mesyuarat Bersepadu OBK bersama pelbagai agensi di sebuah resort di Taman Negara pada Isnin.

"Mungkin ada tapi tidak mahu tampil ke depan jadi kita minta tampil berikan maklumat dan membuat laporan polis," ujarnya.

Katanya, kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa untuk ahli-ahli GISBH di luar sana memberikan kerjasama secara sukarela untuk pemulihan.

"Jadi pada saya ini peluang untuk ahli-ahli yang tersasar untuk memulihkan diri, mendapatkan ihsan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari segi pembelajaran anak akan diteruskan seperti yang kita tahu tidak mengikuti aliran perdana," tambahnya.

Sebelum ini, enam kenderaan polis tiba di perkampungan GISB Holding (GISBH) di Kampung Batu Hampar Dalam, di sini, sekitar jam 2.38 petang pada Ahad dipercayai membawa anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam.

Wanita terbabit dilihat berpakaian baju kurung putih dibawa terus ke rumah kediaman di dalam perkampungan itu dipercayai bertujuan bagi menunjukkan lokasi dirinya didakwa dikurung kira-kira sebulan.