KUALA LUMPUR - Pembangkang sekali lagi mengingatkan kerajaan supaya bersikap lebih adil dalam menyempurnakan memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, MoU tersebut sepatutnya mengambil kira pandangan dua pihak dan tidak boleh dianggap sesuatu yang boleh mengikat sesiapa.
"Apabila membaca MoU tersebut, kita (pembangkang) rasa seolah-olah ditekan supaya kalau nak sesuatu atau mahukan peruntukan, mesti ikut segala yang dimahukan kerajaan. Itu tidak adil.
"Contoh hari ini, (inisiatif) yang baik kita sokong, yang kurang baik kita beri cadangan, yang tak baik kita bantah. Saya nak ingatkan, contohnya seperti pindaan akta berkaitan kewarganegaraan minggu lepas, kami sokong sebab ia baik.
Sebelum ini media melaporkan, PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Keputusan penolakan tersebut yang membabitkan antara kerajaan dengan PN dan antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN dibuat atas empat sebab asas.
Dalam pada itu Hamzah turut mendesak supaya kerajaan memahami keperluan peruntukan demi kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.
"Terbukti hari ini kerajaan sentiasa berwaspada kerana ada pembangkang yang sentiasa melihat yang baik diterima, yang kurang baik akan dibangkang sehabis-habisnya.
"Inilah yang dimahukan supaya negara benar-benar boleh menuju ke arah yang boleh sama-sama dibanggakan," ujarnya.