Dera pembantu rumah, dua beranak ditahan

Iklan
Polis menahan dua wanita pada Isnin lalu kerana dipercayai mendera pembantu rumah mereka. Foto hiasan

AMPANG - Polis menahan dua wanita warga tempatan berusia 40 dan 61 tahun di Taman Putra Sulaiman, di sini pada Isnin lalu kerana dipercayai mendera pembantu rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung kes itu pada Ahad lalu jam 2.25 petang daripada seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pembantu rumah yang bekerja di kediaman kedua-dua wanita tersebut iaitu ibu dan anak sejak dua tahun lalu.

Kata beliau, mangsa mendakwa telah dicederakan oleh dua wanita tersebut menggunakan tukul, pengepit besi serta seterika panas.

Iklan

"Pengadu telah mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dan kiri, selain pada kaki.

"Pengadu telah berjaya keluar dari rumah bagi mendapatkan pertolongan dengan bantuan orang awam.

Iklan

"Motif kejadian disebabkan majikan menuduh pengadu malas dan tidak berpuas hati apabila pengadu sering lupa membuat kerja rumah sebagaimana yang diarahkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, sepasukan anggota telah menangkap kedua wanita tersebut pada Isnin lalu jam 11.30 pagi di kediaman mereka.

Menurut beliau, kedua dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan diberikan jaminan polis sehingga menunggu siasatan selesai.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut," ujarnya.