REE, lombong emas jadi tumpuan terbaharu OBK

Iklan
Abdul Kadir (tengah) bersama Razarudin (kanan) dan Ribuan melihat antara hasil rampasan menerusi OBK.

JERANTUT - Aktiviti melombong unsur nadir bumi (REE) dan galian seperti emas menjadi tumpuan terbaharu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dalam usaha melindungi semua elemen-elemen khazanah di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, melalui pelaksanaan OBK tahun ini, pihaknya berjaya menggagalkan cubaan melombong emas secara haram berhampiran Taman Negara Kelantan pada Jun lepas.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi itu, kita berjaya menahan tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Thailand.

Abdul Kadir (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian buku OBK

"Turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan bersama jentera dan peralatan melombong yang dianggarkan bernilai kira-kira RM700,000," katanya.

Iklan

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat OBK Siri 2/2024 di sebuah resort di Taman Negara di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Ribuan Abdullah.

Iklan

Sebelum ini, OBK yang dilancarkan sejak lima tahun lalu memberi fokus terhadap aktiviti memburu hidupan liar dilindungi secara haram dan kecurian hasil hutan bernilai tinggi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Abdul Kadir memberitahu, OBK sejak awal tahun ini sudah berjaya menahan 170 warga tempatan dan 51 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 240 kertas siasatan dibuka sehingga Sept lalu dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM122.5 juta.

"Sepanjang lima tahun pelaksanaan OBK (2019-2023) di Semenanjung Malaysia, sebanyak 394 kertas siasatan telah dibuka yang melibatkan tangkapan 628 orang pesalah jenayah terdiri daripada 470 warga tempatan dan 158 orang warga asing," jelasnya lagi.

Ujarnya, sebanyak 2,128 jerat hidupan liar telah berjaya dimusnahkan dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan adalah sebanyak RM256.3 juta.

Selain itu, beliau juga memberitahu, usaha menyeludup 13 buah kontena mengandungi 338,000 kilogram (kg) kayu kayan daripada spesies African 2 Rosewood di Pelabuhan Barat Pelabuhan Klang baru-baru ini berjaya digagalkan dan dirampas.

Ujarnya, turut dirampas sebuah kontena mengandungi 10,028 batang kayu kayan daripada spesies Red Sandalwood.

"Kedua-dua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM73 juta," kata beliau.

OBK membabitkan kerjasama rentas agensi antara Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).