ALOR GAJAH - Lebih 1,000 penduduk di dua buah taman berhampiran Kampung Bukit Tampoi, di sini, hidup dalam kegusaran dan ketakutan untuk keluar rumah selepas tular mengenai harimau kumbang membaham enam ekor kambing.
Lebih membimbangkan kejadian tular sejak Sabtu lalu didakwa ada penduduk yang terserempak dengan haiwan berkenaan yang sedang melintasi ke arah kandang ternakan pada tengah malam Ahad.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mutiara, Ismail Kassim, 67, berkata, dianggarkan 300 buah keluarga di taman itu termasuk Taman Sutera hidup dalam kebimbangan.
Menurutnya, sejak tular harimau membaham kambing, kebanyakan penduduk hanya akan keluar rumah sekiranya terdapat urusan penting yang perlu dilakukan.
"Kebanyakan anak-anak juga menasihatkan ibu bapa mereka terutama yang warga emas agar tidak keluar rumah sesuka hati dan lebih berhati-hati termasuk penduduk bimbang untuk keluar biarpun ke surau berdekatan.
"Kami harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka akan terus memantau kawasan itu supaya kita dapat tahu punca haiwan ternakan itu mati sama ada haiwan lain ataupun dibaham harimau kumbang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Bukit Tampoi, di sini, pada Isnin.
Penternak kambing, Ab Razak Ab Rahim, 34, berkata, dia terkejut apabila enam ekor kambing miliknya dipercayai telah dibaham haiwan liar itu hingga menyebabkan kerugian lebih RM5,000.
Menurutnya, ini pertama kali binatang ternakannya dibaham haiwan pemangsa itu yang dipercayai muncul dari kawasan hutan berhampiran.
Katanya, pada awal tahun pernah berlaku kejadian haiwan ternakannya diserang anjing liar, namun cara kambing itu dibaham berbeza dengan sebelum ini.
"Apa pun Perhilitan telah turun ke lokasi dan memasang kamera di kawasan berhampiran untuk mengetahui dan menyiasat perkara ini sama ada melibatkan serangan harimau kumbang atau anjing liar," katanya.
Sementara itu, kontraktor Mohd Shukor Md Jali, 38, berkata, dia terkejut apabila ternampak kelibat berwarna hitam seperti harimau kumbang melintas jalan utama dari kawasan hutan.
"Masa itu saya baru pulang dari memancing tiba saya nampak kelibat binatang itu menuju kawasan kandang kambing penduduk sekitar jam 12.30 malam Ahad," katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan enam ekor kambing milik seorang penternak mati selepas dipercayai dibaham seekor harimau kumbang di sebuah kebun di Bukit Tampoi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada penternak itu pada 2.15 petang Sabtu, sebagai rujukan Perhilitan.