SABAK BERNAM - Seorang ibu tunggal mangsa banjir di Kampung Tanjung Medan, Sungai Panjang di sini memutuskan hanya mengadakan majlis doa selamat menggantikan majlis kenduri kahwin yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini.
Salmi Md Noor, 59, berkata, majlis kenduri kahwinnya tidak diadakan kerana halaman rumahnya dipenuhi lumpur dan becak.
"Majlis pernikahan saya tetap diteruskan tapi tiada kenduri di rumah akibat banjir, sebaliknya hanya mengadakan doa selamat," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Ibu tiga anak itu memberitahu, majlis berkenaan akan diadakan di sebuah inap desa berdekatan secara sederhana berikutan kerugian yang ditanggung akibat banjir.
"Banyak barang dan persiapan kahwin rosak termasuklah perabot seperti katil dan almari, cuma saya berharap majlis nanti berjalan lancar seperti yang telah dirancang," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, persiapan perkahwinan Salmi termasuk tujuh dulang hantaran kepada pihak lelaki musnah akibat banjir yang melanda kampung berkenaan.
Beberapa rumah penduduk di kawasan itu juga ditenggelami banjir setinggi 0.4 meter berikutan air Sungai Bernam melimpah akibat fenomena air pasang besar pada Jumaat lalu.
Penduduk yang terkesan akibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya di sini.
Seorang warga emas, Khatijah Lampam, 72, berkata, keadaan rumahnya dipenuhi lumpur dan dia dan suami tidak berdaya untuk membersihkannya.
"Kami sudah hilang kekuatan untuk bersihkan rumah ini dan menunggu bantuan penduduk untuk datang bergotong-royong.
"Barang elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh mungkin sudah rosak sebab terendam lama dalam air," katanya.
Seorang lagi penduduk, Hamisah Ahmad, 55, berkata, rumah yang didiami bersama ibunya berusia 81 tahun itu dilanda banjir luar biasa dalam tempoh 20 tahun.
Menurutnya, buat masa ini dia sibuk mencuci dan membersihkan rumah yang kotor akibat lumpur dan sampah hanyut.
Katanya, banyak barang termasuk perabot tidak dapat diselamatkan kerana mereka tidak menyangka banjir yang berlaku teruk sekali.
"Emak masih di PPS manakala saya pula pulang ke rumah untuk bersihkan bahagian dapur.
"Saya cuci rumah secara berperingkat dengan mengalihkan dan membuang barangan rosak yang tidak boleh digunakan lagi," ujarnya.