Bantuan zakat bukan bantuan seumur hidup

Iklan
Zainal

SEREMBAN - Golongan asnaf diingatkan bantuan zakat diterima mereka bukanlah bantuan seumur hidup.

Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Zainal Said berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung, namun pada masa sama mereka juga perlulah berusaha mengubah nasib diri.

Iklan
Iklan

"MAINS bukan saja membantu dari segi keperluan asas saja, tapi kita juga cuba bantu golongan asnaf ini secara holistik dengan harapan mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

"Sebab itu antara yang kita beri perhatian adalah dari segi pendidikan anak-anak supaya apabila dewasa nanti, mereka yang dapat bantu keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, MAINS telah menyusun pelbagai bentuk program bersesuaian untuk membantu golongan asnaf meningkatkan taraf hidup termasuk program pembangunan usahawan.

Disebabkan itu Zainal berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan asnaf yang hidupnya telah berubah lebih baik untuk tampil sendiri ke Baitulmal menarik diri sebagai penerima bantuan.

Iklan

"Kalau hidup mereka telah berubah, anak-anak sudah berjaya dan bekerja atau tiada lagi bebanan tanggungan, sepatutnya mereka tidak lagi layak untuk menerima bantuan.

"Jadi kita sarankan tampil ke Baitulmal isytihar diri untuk tidak lagi terima bantuan supaya kita boleh salurkan pula kepada orang lain yang lebih berhak," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, ada juga yang diberi bantuan sepanjang hayat khususnya yang bukan saja hidup susah, tapi mempunyai penyakit kronik.

Tambahnya, pihaknya juga akan melakukan proses pemutihan setiap tahun bagi mengenal pasti status penerima bantuan.

"Kitaran penerima bantuan ini kita bagi dalam tempoh dua tahun dan selepas itu kita akan buat pemutihan, tengok semula keadaan kehidupan penerima.

"Kalau dia masih layak dan perlu dibantu, kita teruskan dan kalau tidak, kita akan tamatkan. Proses ini penting kerana MAINS mahu uruskan duit zakat ini sebaik mungkin," katanya.

Selain itu katanya, bantuan asnaf fakir dan miskin di Negeri Sembilan telah dinaikkan bermula dari RM250 kepada maksimum sehingga RM800 sebulan, mengikut kadar had kifayah setiap isi rumah.

Justeru itu, beliau mengingatkan penerima bantuan asnaf supaya menggunakan wang diterima sebaik mungkin untuk manfaat kehidupan mereka.