JKKP galak guna AR, VR siasat kemalangan di lapangan

Iklan
JKKP mengadakan simulasi AR dan VR bagi memberi gambaran sebenar kepada petugas media mengenai teknologi tersebut pada Program Perjumpaan Bersama Media di sebuah hotel di Bangi.

BANGI - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menggalakkan pemain industri pembinaan menggunakan teknologi digital realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) bagi meningkatkan keupayaan penyiasatan kejuruteraan forensik dan kemalangan di lapangan.

JKKP dalam satu kenyataan berkata, ini kerana penggunaan teknologi itu mampu memendekkan masa serta memudahkan pengurusan industri untuk mengetahui punca sebenar sesuatu kemalangan di kawasan pembinaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tidak dinafikan sudah ada pemain industri yang menggunakan AR dan VR namun bukan secara meluas.

"Teknik VR ialah sejenis teknologi yang membolehkan anda berinteraksi dengan dunia digital sepenuhnya manakala AR melihat perkara maya di dunia nyata.

Iklan

"Jika ada sesuatu kemalangan di tapak, pegawai terlibat boleh melakukan penyiasatan secara maya terlebih dahulu bagi mendapatkan gambaran awal sebelum turun ke lokasi kejadian.

"Cara itu juga yang digunakan oleh pegawai JKKP di bahagian kejuruteraan forensik menerusi pembangunan di bawah program OSH Techology and Advancement (OTA)," katanya pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengadakan Program Perjumpaan Bersama Media di sini.

Tambah JKKP, dalam persekitaran maya AR terdapat dua jenis simulasi jentera telah dibangunkan melibatkan kren menara dan lif penumpang.

"Bagi kren menara beberapa senario seperti kegagalan akibat lebihan muatan beban, tali dawai, meja berputar dan brek kren telah dibangunkan.

"Jentera lif pula melibatkan kegagalan brek solenoid, gegalas takal beban timbal akibat kehilangan blok beban timbal dan tali dawai," jelasnya.

Bagi sistem VR jelasnya, beberapa pengalaman telah dibangunkan melibatkan latihan penyiasatan untuk kemalangan di kawasan pembinaan dan sektor pengilangan atau pembuatan.

"Teknologi ini sangat memberi manfaat kerana kami dapat meningkatkan komunikasi penyiasatan dengan JKKP Negeri yang mana perbincangan maya dapat dijalankan dengan lebih meluas," ujarnya.