Legenda badminton Taufik Hidayat jadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Indonesia

Iklan
Taufik Hidayat dilantik Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Foto Agensi

JAKARTA - Pemain badminton legenda Indonesia, Taufik Hidayat dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan (Wamenpora) dalam Kabinet Merah Putih di bawah pemerintahan Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka untuk penggal 2024-2029.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Prabowo di Istana Presiden Jakarta pada Ahad malam.

Iklan
Iklan

"Taufik Hidayat menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan," kata Prabowo.

Taufik bakal memikul tanggungjawab besar untuk membantu meningkatkan dan memberikan impak positif bagi kemajuan sukan di Indonesia.

Iklan
Taufik akan memikul tanggungjawab besar untuk membantu meningkatkan dan memberikan impak positif bagi kemajuan sukan di Indonesia. - Gambar/ Tangkap layar Kompas

Sejak aktif dalam arena sukan di Republik itu, Taufik dikenali sebagai seorang yang cukup lantang. Beliau sering menyuarakan ketidakpuasan terhadap isu yang dianggap tidak tepat, dalam sukan badminton atau industri sukan Indonesia secara umum.

Taufik disifatkan mempunyai kapasiti untuk memegang jawatan itu sekali gus membawa perubahan dalam sukan Indonesia lebih maju serta memberi impak besar.

Iklan

Sebagai atlet, Taufik Hidayat telah meraih pelbagai kejayaan termasuk memiliki pingat emas lengkap di semua acara multi-sukan, termasuk Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.

Terdahulu, Taufik pernah dinobatkan sebagai juara dunia dan pemain badminton nombor satu dunia, serta mewakili Indonesia menjuarai Piala Thomas.

Taufik memutuskan untuk bersara daripada dunia sukan badminton pada tahun 2013 dan pernah menjadi kakitangan khas di Kementerian Belia dan Sukan dari 2017 hingga 2018.

Dalam Pilihan Raya 2024, Taufik pernah bertanding sebagai calon anggota Dewan Perwakilan Republik Indonesia mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA).

Bekas Jeneral, Prabowo Subianto mengangkat sumpah pada Ahad sebagai Presiden Indonesia yang kelapan.

Pemimpin berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah di Parlimen di ibu negara Republik itu di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.

Dalam Kabinet Prabowo yang beliau namakan 'Kabinet Merah Putih', Prabowo melantik 56 Menteri yang terdiri daripada 51 wajah baharu yang mewakili pelbagai agensi Kerajaan. - Awani