Sultan Pahang titah kaji cerun elak kejadian tanah runtuh berulang

Iklan
Al-Sultan Abdullah. Foto FB Kesultanan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kajian khusus mengenai cerun perlu dilakukan oleh pihak berkaitan agar kejadian tanah runtuh tidak berulang.

Menerusi satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda menegaskan pentingnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) membuat tinjauan dan kajian terperinci supaya ada satu penilaian khusus terutama di kawasan yang padat dengan penduduk.

Iklan
Iklan

"Kita perlukan kajian ini, kita perlu nasihat dan pandangan yang tepat bagi mengatasi kejadian cerun atau tanah runtuh terutamanya di tempat sama.

"Kita nak bagi keyakinan seandainya tempat yang dihuni mereka adalah selamat atau sebaliknya," titah Paduka Baginda pada Isnin.

Iklan

Baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 12 keluarga yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh pada Isnin lalu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan Kerajaan negeri dan setempat.

Iklan

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menasihatkan penduduk terlibat agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika musim hujan.

"Malang tak berbau jadi kena perhati sekeliling kita. Saya harap semua mangsa bersabar, kejadian ini bukanlah kehendak kita tapi semuanya dari ALLAH SWT.

"Terima kasih kepada semua agensi terlibat, masuk kali ke empat kawasan ini (Sungai Ruil) terlibat dengan tanah runtuh," titah baginda.

Pada 7 Oktober lalu, seramai 70 orang penduduk terdiri daripada 12 keluarga terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari susulan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang berlaku di perkampungan itu.