Rumah kedai baru seminggu jadi lokasi judi diserbu, 19 warga asing ditahan

Iklan
Kumarasan (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan kegiatan perjudian di sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Nusa Bestari pada awal pagi Isnin.

ISKANDAR PUTERI - Seorang warga asing mengalami kecederaan retak buku lali ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di sebuah premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi jenis Black Jack di Taman Nusa Bestari pada awal pagi Isnin.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki itu berjaya diberkas sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.

Iklan
Iklan

"Lelaki itu merupakan salah seorang daripada 19 warga asing yang ditahan hasil serbuan Op Dadu sekitar jam 3 pagi itu.

"Kesemua suspek yang ditahan melibatkan sembilan lelaki dan 10 perempuan berusia 24 hingga 55 tahun bersama kad daun terup termasuk wang berjumlah RM52,808 disyaki hasil wang pertaruhan kegiatan judi tersebut.

Iklan

"Malah dalam serbuan itu, kita turut menahan pasangan kekasih yang dipercayai merupakan dalang terhadap kegiatan judi tersebut," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Tambah Kumarasan, kesemua suspek dipercayai baru seminggu menjalankan kegiatan judi di sebuah rumah kedai dua tingkat itu bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Iklan

Malah katanya, kesemua suspek yang ditahan itu sebahagiannya dipercayai bekerja di kilang, kedai makan dan kontrak di kawasan sekitar daerah ini.

"Kita masih menyiasat sama ada mereka semuanya mempunyai permit kerja dan dokumen yang sah.

"Kesemua suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu berjudi di sebuah rumah judi terbuka.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Suspek juga boleh disiasat bawah Seksyen 6(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tiga bulan hingga dua tahun dan maksimum tiga kali sebutan," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini.