KUALA LUMPUR - Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil tanggungjawab memerangi rasuah dalam kalangan warga kerjanya melalui siri jelajah anti rasuah selama tiga bulan bermula Februari ini.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata, ia sebagai komitmen dalam mencegah gejala tidak bermoral itu sebagai kesinambungan terhadap Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dilaksanakan pihaknya baru-baru ini.
"Ini bagi memastikan warga kerja menerima sepenuhnya usaha tersebut secara menyeluruh.
"Ikrar (IBR) dan akujanji ini dilakukan secara sukarela atas kapasiti sebagai individu yang bertanggungjawab dan berusaha menjauhkan diri daripada sebarang amalan rasuah," katanya.
Terdahulu, pengurusan kanan Air Selangor diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman melakukan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) disusuli menandatangani akujanji disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Komuniti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pesuruhjaya Razim Mohd Noor dalam satu majlis tertutup di Ibu Pejabat Air Selangor, Jalan Pantai Baharu baru-baru ini.
Sesi taklimat berkaitan Seksyen 17A, Akta SPRM 2019 (Corporate liability) turut disampaikan Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf.
Mengulas lanjut katanya, Air Selangor menekankan prinsip integriti seperti terkandung dalam lima nilai teras diperkenalkan, selain beberapa dasar yang diketengahkan lebih awal bagi menyokong nilai teras tersebut.
"Antaranya Polisi Tiada Hadiah, Polisi Pemberi Maklumat, Pengisytiharan Konflik Kepentingan, Perjanjian Integriti Perolehan dan Garis Panduan Bukan Pakatan," katanya.