Wanita bekerja boleh carum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

Iklan
Kakitangan PERKESO menunjukkan risalah SKSSR.

KOTA BHARU - Masih ramai yang tidak mengetahui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan caruman serendah RM120 setahun boleh dicarum oleh wanita bekerja.

Lebih menarik, skim tersebut tidak menetapkan syarat minimum had umur pencarum sekali gus membolehkan pencarum muda dalam kalangan anak gadis atau kanak-kanak perempuan.

Iklan
Iklan

Skim berkenaan boleh dicarum oleh wanita sendiri, suami mencarum bagi pihak isteri dan juga bapa mencarum untuk anak perempuannya atau mana-mana tajaan lain.

Rahmat

Ketua Bahagian Sinergi PERKESO, Rahmat Ismail berkata, sejak diperkenalkan, SKSSR merekodkan jumlah pencarum seramai 474,058 di seluruh negara.

Iklan

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, hanya 39,409 pencarum membuat caruman secara sukarela dan jumlah kalangan mereka yang bekerja mencarum juga masih rendah.

"Sejumlah besar lebih 400,000 pencarum pula terdiri dalam kalangan asnaf yang ditaja oleh kerajaan melalui e-Kasih dengan jumlah paling tinggi di Sarawak 85,083, Sabah 84,571 dan Kelantan 59,416.

Iklan

"Kami tidak ada data jumlah pencarum SKSSR yang bekerja tetapi golongan ini amat sedikit mencarum kerana beranggapan mereka sudah mempunyai caruman PERKESO melalui majikan, sedangkan mereka boleh mencarum SKSSR dan mendapat faedah daripada kedua-duanya,” katanya.

Rahmat (tiga dari kiri) turut menyampaikan bakul makanan daripada PERKESO kepada Nik Nazura (dua dari kanan).

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Penyampaian SKSSR kepada guru, Nik Nazura Yusoff di Peringat di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Rahmat mengulas, SKSSR diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022, memberi perlindungan kepada wanita yang mengalami penyakit, kemalangan atau bencana domestik iaitu insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan yang menjejaskan keupayaan untuk menguruskan rumah tangganya.

Jelasnya, wanita tersebut termasuk suri rumah sepenuh masa atau separuh masa iaitu mereka yang bekerja kurang daripada umur 55 tahun.

"Mereka akan menerima perlindungan iaitu Faedah Perubatan dalam jumlah yang tertakluk kepada Akta Fi 1951, Faedah Hilang Upaya Kekal melalui bayaran pukal sehingga RM30,000 dan Elaun Layanan Sentiasa RM350 setiap bulan hingga berusia 55 tahun.

"Selain itu, pembiayaan sehingga RM50,000 bagi Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat RM3,000 dan Pencen Penakat RM300 kepada pasangan hingga 55 tahun atau anak sehingga 21 tahun atau tamat ijazah pertama di universiti,” katanya.

Tambah beliau, amat rugi bagi wanita yang tidak mencarum kerana sehingga kini, PERKESO sudah membayar faedah berjumlah RM7 juta.

PERKESO selainnya menyasarkan jumlah pencarum SKSSR dapat mencapai 500,000 hingga hujung tahun ini.