KUALA LUMPUR - Jumlah banduan ditempatkan di penjara di seluruh negara kini mencecah 87,000 orang iaitu melebihi kapasiti maksimum 74,000 tahanan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha rentas agensi dan kementerian perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu.
"Insya-ALLAH kita akan bantu Jabatan Penjara Malaysia menyelesaikan masalah lebih muatan ini dengan beberapa pendekatan proaktif setelah dibentangkan dalam mensyuarat (Majlis Sosial Negara) sebentar tadi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Isnin.
Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan tidak pernah memandang ringan permasalahan sosial yang berlaku di negara ini.
"Saya baru selesai mempengerusi mesyuarat Majlis Sosial Negara dan kami sentiasa cari penyelesaian serta buat keputusan dasar mengenai hala tuju pembangunan sosial negara sambil menilai strategi yang sedang dilaksanakan.
"Isu kami bincangkan tidak terhenti dalam permasalahan sosial yang saya sebutkan di dalam ucapan ini, tetapi ia melangkaui permasalahan lain seperti pengurusan banduan rentan.
"Ini termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian, dasar perbankan buat orang kurang Upaya (OKU), pengurusan pelarian dalam negara dan keciciran murid sekolah menengah yang semakin merisaukan," ujarnya.
DSN 2030 menetapkan sasaran untuk negara berada di kedudukan ke-25 dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah selain meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh ke 60 peratus.
Empat teras dasar sosial ini ialah keperluan asas, potensi diri, sistem sokongan dan tanggungjawab sosial.
Bagi memastikan kesemua objektif tercapai, kerajaan sedang melaksanakan 44 pelan tindakan utama berkaitan sosial melibatkan 19 kementerian dan agensi dengan pemantauan Majlis Sosial Negara. - Awani