PERPISAHAN pasangan selebriti Fattah Amin dan Nur Fazura pada awal Oktober lalu menjadi sorotan umum dan pastinya anak mereka, Nur Fatima Aisya turut terkena tempiasnya.
Ramai yang melahirkan rasa simpati dengan Fatima yang terpaksa melalui perpisahan orang tuanya pada usia yang masih muda.
Bahkan untuk Fattah sendiri, dia tidak menafikan situasi pertemuan dengan puteri tunggalnya itu berbeza selepas bercerai.
"Baru-baru ini saya ada jumpa Fatima, cuma keadaannya tak sama.
Bintang utama Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata, Fatima mungkin tidak memahami keadaan yang sedang berlaku dalam keluarga kerana masih terlalu kecil.
Namun, sebagai seorang bapa, dia akan tetap bersama anak tunggalnya itu.
"Saya tidak rasa dia faham, sebab dia baru berusia empat tahun. Dia anak yang bijak dan pintar, tapi kefahamannya tidaklah sama seperti kita orang dewasa.
"Mungkin ia mengambil masa. Apa yang penting saya sebagai 'daddy' dia, saya akan luangkan masa sebanyak mungkin bersamanya," jelasnya.
Terdahulu, Fattah dan bekas isteri, Fazura sah bercerai talak satu selepas aktor itu melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bistari pada 7 Oktober selepas tujuh tahun berkahwin.
Untuk rekod, pasangan yang popular dengan singkatan Fattzura itu diijabkabulkan pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Nur Fatima Aisya, 4 tahun.