SHAH ALAM - Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju untuk menambah baik pengurusan banduan kategori rentan melibatkan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit mental dan kronik di Jabatan Penjara Malaysia susulan kesesakan dalam penjara ketika ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan berkata, ia turut dipersetujui bagi penyelesaian pra perbincangan, hukuman dan pemulihan alternatif diperkasa, serta Kanun Acara Jenayah (Akta 593) dikuat kuasa.
"Bukan itu sahaja, ia juga meliputi perkhidmatan dan pemeriksaan kesihatan termasuk kesihatan mental diperluaskan.
"Penyelesaian dalam fasiliti penjara dari segi pengasingan dan penambahbaikan infrastruktur serta penyelesaian dalam komuniti dengan mewujudkan rumah perantaraan atau rumah perlindungan juga dibincangkan,” katanya pada Isnin.
Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat MSN Bilangan 3 Tahun 2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata, penjara di Malaysia dilaporkan semakin sesak apabila seramai 87,000 banduan direkodkan berada di dalam tahanan bagi pelbagai kesalahan dan jenayah.
Menurutnya, berdasarkan angka terkini, jelas menunjukkan kapasiti penjara sudah melebihi 13,000 banduan kerana kadar muatan maksimum penjara adalah seramai 74,000 tahanan.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut berkata, mesyuarat itu membincangkan satu lagi kertas pertimbangan melibatkan cara menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian.
Ujarnya, ia dipersetujui dengan kewujudan garis panduan Kawalan Akses Peranti, penubuhan Pasukan Petugas Khas Menangani Jenayah Dalam Talian dan pengukuhan kerjasama antara agensi penguat kuasa.
"Ia juga boleh dilakukan dengan pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran yang menyeluruh serta rentas kementerian dengan menggunakan pendekatan Whole of Society,” katanya.