Jadikan kenaikan gaji minimum peraturan jangka panjang

Iklan
Norizan mencadangkan kenaikan gaji minimum dibuat melalui satu undang-undang atau peraturan bersifat jangka panjang supaya majikan dapat merancang dan lebih bersedia.

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya melaksanakan kenaikan gaji minimum sebagai satu undang-undang bersifat jangka panjang supaya majikan lebih bersedia dan dapat merancang kewangan secara teratur.

Ketua Pegawai Eksekutif Enescorp International LLC, Norizan Sharif berkata, ia juga bagi mengelakkan perkara tersebut menjadi bahan permainan politik setiap kali bertukar kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, negara ini boleh mencontohi kaedah yang dilaksanakan di New Jersey, Amerika Syarikat apabila menentukan gaji minimum dinaikkan setiap tahun bermula 2011.

"Cadangan saya, mulakan (Malaysia) pada tahun 2025 gaji minimum RM1,600 iaitu kenaikan sebanyak 6.6 peratus berbanding tahun sebelum ini.

Iklan

"Setiap tahun sehingga lima tahun, naikkan gaji minimum sebanyak 6.6 peratus. Dalam tempoh lima tahun, semua pekerja akan dapat gaji sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

"Setiap tahun, majikan tahu gaji minimum. Mereka boleh merancang kewangan masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu mengumumkan peningkatan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari tahun hadapan.

Ujar Norizan, berdasarkan kenaikan 6.6 peratus itu, pekerja di Malaysia bakal menerima gaji minimum sebanyak RM1,696 pada 2026 diikuti RM1,797 (2027), RM1,904 (2028) dan RM2,018 (2029).

"Saya cadangkan 6.6 peratus sebab itu ialah dua kali ganda kadar inflasi kita. Saya fikir majikan mampu dengan kenaikan berkala ini.

"Saya percaya, tanpa undang-undang pun, perniagaan kecil naikkan gaji staf antara tujuh hingga 15 peratus setahun. Ada yang lebih dari itu.

"Saya cadang kecualikan perniagaan mikro atau kecil dengan pendapatan di bawah RM500,000 setahun daripada peraturan gaji minimum,” ujarnya.