Penjawat awam teruja tandatangan SSPA, tawar laluan kerjaya lebih luas

Iklan
Sebahagian daripada 75 penjawat awam menunjukkan borang yang ditandatangani pada Majlis Menandatangani Opsyen SSPA di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini teruja menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan mempertingkatkan lagi aspek kebajikan selain menawarkan laluan kerjaya lebih luas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Nuuraulia Md Isa berkata, beliau teruja menandatangani SSPA yang menawarkan lebih banyak ganjaran kepada penjawat awam.

Iklan
Iklan

"Dah lama tidak ada satu sistem saraan baharu dan bila adanya SSPA, ramai teruja dan ia memberikan kami semangat untuk berkhidmat untuk rakyat.

"Melalui SSPA, gaji dan kemudahan lain ditambah dan saya seru rakan penjawat awam untuk menandatangani sistem baharu ini,” katanya selepas majlis menandatangani opsyen SSPA di sini pada Isnin.

Iklan

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hari ini mengetuai majlis menandatangani opsyen SSPA bersama 75 warga kerja JPA daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun JPA, Bernard Kung menyeru semua penjawat awam untuk menandatangani opsyen SSPA sebelum 30 November ini.

Iklan

"Kita akan menerima pelarasan gaji (melalui SSPA) dan kalau tolak SSPA, kita tidak akan menikmati gaji yang lebih tinggi. Aspek kemudahan seperti cuti juga akan ditambah selain laluan kerjaya lebih luas dalam SSPA,” katanya.

Sebahagian daripada 75 penjawat awam menandatangani borang SSPA di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada Isnin. Foto Bernama

Pegawai keselamatan JPA, Muhammad Fadhlullah Abu Bakar pula berkata, pelarasan gaji yang lebih tinggi dalam SSPA mendorong beliau untuk berkhidmat dengan lebih baik selain membuktikan kerajaan menjaga kebajikan penjawat awam.

"Saya seru semua pilih SSPA dan berazam laksana tugas sebagai penjawat awam dengan cemerlang,” katanya.

Opsyen menandatangani SSPA bermula hari ini hingga 30 November dan tawaran terbuka kepada semua pegawai awam bertaraf tetap bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelarasan gaji akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2. - Bernama