GEORGETOWN - Kejadian kebakaran hutan terus dilaporkan berlaku di negeri ini dan kali ini melibatkan kawasan mendaki di Bukit Jambul di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku jam 9.38 pagi berhampiran stesen 15 kawasan trek pendakian Bukit Jambul.
Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dengan bantuan pasukan dari balai Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
"Ketika sampai di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan hutan di mana terdapat beberapa batang pokok dan daun-daun kering dilihat terbakar.
"Tiada laluan jalan masuk ke lokasi dan anggota kita perlu mendaki ke kawasan tersebut untuk melalukan kerja-kerja memadam api," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jurucakap berkenaan berkata, anggaran keluasan kawasan hutan yang terjejas adalah seluas 0.4 hektar.
Katanya, anggota bomba melakukan 'fire brake' dan pemadaman menggunakan peralatan 'forest fire' bagi mengelakkan api terus merebak.
"Kebakaran berjaya dikawal dan kerja-kerja pemadaman api sedang giat dilakukan.
"Setakat ini kebakaran dalam keadaan terkawal dan operasi turut dibantu pasukan bomba sukarela berdekatan," katanya.