Young Tigers kekal positif buru kemenangan pertama di SOJC

Iklan
Aksi pemain Young Tigers ketika berdepan Jepun pada SOJC 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Tebrau, Johor Bahru. Foto: Malaysian Hockey Confederation

PENGENDALI skuad hoki remaja negara, I Vikneswaran kekal positif The Young Tigers akan meneruskan perjuangan memburu kemenangan pertama pada Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 walaupun tewas dua perlawanan awal.

Malah, katanya, pemain-pemainnya masih berpeluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing apabila bakal berdepan pendahulu, India pada Selasa.

Iklan
Iklan

"India menang dua perlawanan berturut-turut, jadi kita kena buat perancangan dan dalam kejohanan ini apa yang saya lihat, pasukan teratas tidak semestinya akan menang semua perlawanan.

"Begitu juga pasukan di bawah, tidak semestinya akan kalah semua aksi kerana peluang sentiasa terhidang. Pemain harus belajar daripada pengalaman dan tidak boleh sambil lewa,” katanya.

Iklan

Beliau menyifatkan terdapat perkara positif yang boleh diambil daripada kekalahan menentang Jepun dan New Zealand terutama aspek beraksi di bawah tekanan.

"Ini peluang kita untuk berada dalam situasi tekanan sebelum Piala Dunia Remaja, ada banyak manfaat kita dapat kerana tekanan ini penting untuk kita tahu bagaimana meneruskan sesuatu perlawanan,” katanya.

Iklan

Vikneswaran pada masa sama berkata, Young Tigers perlu bekerja keras serta memperkemaskan aspek tertentu terutama pukulan sudut penalti sekali gus bangkit daripada kekalahan.

Sementara itu, pengendali Jepun Yoshihiro Anai berpuas hati dengan kemenangan ke atas Malaysia seterusnya meraih tiga mata pertama Negara Matahari Terbit berkenaan.

"Mereka bagus dalam memberi tekanan dan bermain secara kompak kerana kami menganalisis dan mengkaji bagaimana pasukan Malaysia bermain, yang memberi kami peluang untuk menang.

"Fokus kami sekarang kepada perlawanan berikutnya menentang Australia, jadi kami perlu bersedia,” katanya.

Anak buah Vikneswaran menduduki kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas 1-4 kepada Jepun dan 2-3 kepada New Zealand

Keputusan itu menyukarkan laluan skuad remaja negara untuk mara ke final apabila bakal berdepan juara tiga kali, India pada Selasa.

Pada Rabu pula Malaysia akan berdepan Great Britain diikuti Australia, Jumaat - Bernama