Sinar Harian terima Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari

Iklan
Tengku Sarafudin (tiga, kiri) berkenaan menyampaikan Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari kepada Zamri (tiga kanan) bersempena Majlis Perasmian Sambutan Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, pada malam Isnin.

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Sinar Harian menerima Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersempena Majlis Perasmian Sambutan Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, pada malam Isnin.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenaan menyampaikan anugerah terbabit kepada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Iklan
Iklan

Sinar Harian membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Iklan

Zamri berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada NRES serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas penganugerahan ini.

Beliau berkata, Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari ini adalah satu pengiktirafan untuk seluruh tenaga kerja Sinar Harian yang selama ini sentiasa menghasilkan pelbagai laporan berita, artikel dan video berkaitan alam sekitar.

Iklan

Tengku Sarafudin (tiga, kiri) berkenaan menyampaikan Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari kepada Zamri (tiga kanan) bersempena Majlis Perasmian Sambutan Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, pada malam Isnin.

"Sejak tahun ini, Sinar Harian turut menjenamakan laporan pemberitaan alam sekitar di bawah Lestari@Sinar seiring inisiatif amalan signifikan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Antara beberapa laporan utama di bawah inisiatif ESG Lestari@Sinar tahun ini termasuk kempen pelupusan e-waste yang betul untuk menjaga alam sekitar," katanya.

Zamri berkata, lantaran itu, wartawan Sinar Harian tahun ini mendedahkan beberapa tapak pelupusan e-waste haram di Selangor dan kilang-kilang e-waste seludup di Segamat, Johor.

Menurut beliau lagi, hasil laporan itu, JAS, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan serbuan dan mengambil tindakan terhadap sindiket-sindiket terbabit.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Hari Alam Sekitar Negara yang disambut pada tanggal 21 Oktober setiap tahun mengekalkan tema"Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama” turut memartabatkan komitmen semua pihak melalui anugerah seperti Anugerah Langkawi dan Anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Peringkat Kebangsaan Sesi 2023/2024.

Beliau berkata, anugerah ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada individu dan organisasi di Malaysia yang telah memberikan sumbangan besar dan signifikan ke arah kelestarian alam sekitar.

Nik Nazmi menambah, anugerah ini juga tercetus daripada Deklarasi Langkawi yang telah ditandatangani oleh Ketua-Ketua Negara Komanwel pada tahun 1989.

Beliau menyatakan, penganugerahan ALKAS turut mendapat pengiktirafan Yang Di-Pertuan Agong.

"Sumbangan penerima-penerima ALKAS ini melangkaui perkara-perkara berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, bahkan ia meliputi keseluruhan aspek pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Beliau menyifatkan, penerima anugerah individu dipilih daripada tokoh masyarakat dan organisasi yang membantu menggerakkan komuniti dan rakyat Malaysia untuk bersama-sama melaksanakan agenda kelestarian alam sekitar.

"Ini adalah pendekatan keseluruhan negara yang diinspirasikan di mana kerajaan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu, dalam memelihara dan memulihara alam sekitar demi masa depan generasi akan datang.

Selain Sinar Harian yang terpilih menerima Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari, Bernama menerima Anugerah Media Penulisan Cakna Alam Sekitar dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula menerima Anugerah Kolaborasi Lintas Platform.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan calon organisasi yang menerima Anugerah Langkawi Sesi 2023/2024, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil penghargaan.

Guru cemerlang Sekolah Menengah (SM) St Michael, Jenifer Asing pula menjadi calon individu menerima Anugerah Langkawi Sesi 2023/2024, manakala Majlis Daerah Beufort pula Penghargaan Khas Panel Anugerah Langkawi.