Rondaan lebih kerap di lokasi banyak aduan merokok

Iklan
Pegawai Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melaksanakan Op Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Rondaan lebih kerap akan dilaksanakan ke lokasi yang sering menerima aduan mengenai isu merokok di tempat larangan, tegas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurutnya, hasil penguatkuasaan bermula 1 hingga 21 Oktober (Isnin), sejumlah 352 premis di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperiksa bagi pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Iklan
Iklan

"Sejumlah 33 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun bernilai RM8,250 menerusi operasi harian dan berjadual.

"Sebanyak 18 notis membabitkan kedai makan, kompleks beli-belah (7 notis) dan perhentian awam (8 notis)," katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru di sini pada Isnin.

Iklan
Norhayati (tengah) dalam sidang akhbar selepas Op Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau sebelum itu hadir mengedarkan tanda larangan merokok terkini di 58 premis dilawati dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Kuala Lumpur, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tambah Norhayati, tanda larangan baharu ditambah dengan logo rokok elektronik dan kod QR yang boleh diimbas bagi mengetahui lebih lanjut berkait khidmat nasihat kesihatan.

Iklan

"Pemilik premis juga tidak dibenarkan letak bekas abu rokok bagi elak pelanggan merokok. Jika pelanggan merokok, pemilik premis diminta untuk menasihatkan dengan berhemah agar tidak merokok di kawasan larangan.

"Sekiranya pelanggan masih berdegil, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di talian 010-8608949 atau bilik gerakan di talian 03-88924552. Maklumat pengadu adalah rahsia," ujarnya.

Tegasnya, kawasan 'panas' ini berdasarkan berapa banyak aduan diterima dan pegawai penguat kuasa akan membuat rondaan dengan lebih kerap.

Ujarnya lagi, tanda amaran baharu ini diharap dapat beri penjelasan lebih jelas.

Ketika ditanya sambutan daripada pemilik premis, beliau berkata, semua patuh untuk mengunakan tanda larangan baharu.

"Mereka faham untuk keperluan mematuhi. Mereka sokong dan sambut baik penguatkuasaan ini," katanya.

Kata beliau, Operasi Mega Bersepadu di Kuala Lumpur ini merupakan pelaksanaan kelapan sejak 1 Oktober yang telah dilakukan di Melaka, Sabah, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

4 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi kawasan terbaharu larangan merokok selepas ia digazetkan di dalam senarai Tempat Dilarang Merokok di bawah Akta 852.

Ia menjadikan sebanyak 28 tempat larangan merokok secara keseluruhannya.

Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober 2024.