Polis siasat video selisih faham didakwa babitkan pegawai MB

Iklan
Tular video perselisihan faham terbabit yang mendakwa individu terlibat merupakan salah seorang daripada kakitangan di Pejabat Menteri Besar Kedah.

ALOR SETAR - Polis Kota Setar mengesahkan menerima laporan daripada dua lelaki berhubung kes perselisihan faham, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dua laporan polis diterima daripada dua lelaki tempatan berusia 48 dan 54 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan pertama diterima pada jam 1.25 pagi 21 Oktober sementara laporan kedua menyusul pada jam 10.58 pagi hari yang sama.

"Sebelum ini tular satu video berdurasi satu minit 20 saat yang dikongsi ramai menerusi aplikasi Tiktok.

Iklan

"Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 20 Oktober jam lebih kurang 11.50 malam di Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman video tersebut mendapati beberapa individu bertengkar mulut dengan salah seorang duduk di tempat bahagian pemandu sebuah kenderaan dan beberapa individu lagi berada di luar kenderaan.

Iklan

"Polis telah membuka kertas siasatan berasingan berdasarkan kejadian ini bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan," katanya.

Jelasnya, setakat ini, kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk dirakam keterangan.

"Polis menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan sementara siasatan polis dijalankan.

"Sehubungan itu, polis juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil memberi keterangan," katanya.

Sebelum ini tular video perselisihan faham terbabit yang mendakwa individu terlibat merupakan salah seorang daripada kakitangan di Pejabat Menteri Besar Kedah.