SETIAP wanita bukan sahaja berbeza dari segi rupa paras, tetapi juga dalam hal komitmen hidup.
Ada antara kaum Hawa yang selesa hidup solo, tidak kurang baharu mengecap bahagia berumah tangga atau kini sudah bergelar ibu.
Atas dasar komitmen itu juga mendorong mereka mendahulukan banyak perkara penting dalam hidup. Demikian jugalah yang dilalui oleh aktres bertubuh genit, Mira Filzah.
Ujar pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman itu, selepas bergelar ibu dua tahun lalu, tumpuan dan komitmen utamanya kini beralih kepada Wan Khair Amir, dua tahun.
Bagaimanapun dalam masa sama, isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar masih mahu terus mewarnai industri.
"Kalau ikutkan, saya sudah kembali berlakon semenjak Amir berusia lapan bulan, tetapi tidaklah rancak seperti ketika saya masih bujang.
"Kini sebagai ibu, saya mahu melihat perkembangan anak, dia merangkak, berjalan, pergi ke sekolah. Jadi, saya susun jadual sebaiknya supaya seimbang untuk jalani penggambaran dan bersama anak serta keluarga," katanya.
Mira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran siri terbaharu lakonannya, Hikayat Bawang Putih Bawang Merah di TGV One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.
Malah katanya, beliau juga perlu menyusun jadual sebaiknya kerana ada ketika, suaminya mempunyai urusan kerja di kala beliau mendapat tawaran melakonkan watak yang teringin untuk dijayakannya.
Menyentuh akan kelibatnya yang semakin jarang muncul dan perkara itu turut disedari peminatnya, ini kata tuan punya badan.
"Untuk perkembangan karier seni akhir-akhir ini, saya membintangi dua filem tahun lalu termasuk sebuah filem dari Indonesia.
Katanya, filem berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu arahan Hanung Bramantyo itu masih menanti tarikh tayangan.
"Selepas Amir berusia lapan bulan, saya jalani penggambaran siri Imam Instant, kemudian ke Indonesia untuk penggambaran filem.
"Ikutkan saya jalani penggambaran dua buah filem tahun lepas. Mungkin sebab itu orang sangka saya tidak aktif lagi. Insya-ALLAH hujung tahun ini saya bakal muncul dengan siri 32 episod untuk Astro berjudul Curang Tanpa Niat," jelasnya yang bersedia menjayakan watak antagonis sekiranya bersesuaian dengan imej bertudungnya.
Bagai sesuai dengan perkembangan isu semasa termasuk dalam dunia artis kini, Mira ditanya akan kebimbangannya mengenai kes kecurangan yang acap kali dilaporkan.
Menolak secara baik untuk mengulas mengenai isu rumah tangga rakan selebriti, Mira berkata, sebagai wanita, beliau juga bimbang dengan kehadiran orang ketiga.
"Kalau ikutkan sejak awal saya mula berlakon sudah ada watak penyondol atau orang ketiga. Cuma kini, produksi guna perkataan curang sebagai judul drama.
"Kalau ikutkan saya tidak mahu terlalu fikirkan sebab ini kerja dan ia sebahagian daripada ibadah.
"Cuma kalau ditanya, takut atau tidak dengan kehadiran orang ketiga, saya percaya semua ada jawapan yang sama. Begitu juga dengan saya," ulasnya ringkas.
Privasi
Sementara itu, ditanya keterbukaannya berkongsi momen privasi bersama suami dan anak-anak di media sosial, wanita berusia 31 tahun itu memberitahu tidak mempunyai kekangan untuk berbuat demikian.
Namun selepas bergelar ibu, Mira mendedahkan tidak begitu rajin meluangkan lebih masa memilih gambar dan lagu untuk dijadikan hantaran terbaharu.
"Bila sudah bergelar ibu, kita rasa sudah penuh. Mana tangan nak pegang barang, nak jaga anak lagi. Nak teliti gambar dan pemilihan lagu pun ambil masa.
"Jadi, ada juga rasa malas untuk berkongsi hantaran, tetapi saya tidaklah terlalu tertutup. Saya sendiri bila ada hari istimewa seperti hari jadi, teringin juga lihat suami membuat hantaran di media sosial," jelasnya.
Bagaimanapun, Mira berkata, beliau tidak ambil pusing dengan segelintir warga maya yang mengukur kebahagiannya menerusi perkongsian di media sosial.
"Saya serahkan kepada mereka (netizen) untuk menilai kerana kita tidak boleh kawal semua itu. Kalau mereka rasa kebahagian perlu ditunjuk di media sosial, terpulang.
"Cuma, secara peribadi, saya tidak ambil berat hal-hal yang pada saya tidak penting," ujarnya yang bersedia untuk menambah cahaya mata tahun hadapan.