SHAH ALAM - Jalinan kerjasama atau dasar luar antara Malaysia-Indonesia sudah pasti lebih erat dan mesra susulan pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden Republik Indonesia baharu.
Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, apa-apa isu berbangkit dihadapi kedua-dua pihak akan ditangani secara diplomasi memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga adalah rakan akrab pemimpin terdahulu, Joko Widodo, sama seperti Prabowo.
"Walaupun kita tahu ada beberapa pertikaian sering menimbulkan ketegangan atau konflik antaranya isu pekerja, kebajikan pembantu rumah, tuntutan terhadap kepulauan dan lain-lain.
"Bagi saya, di bawah pemerintahan baharu ini juga kita akan lihat Prabowo meneruskan apa jua dasar sedia ada, namun ia ditambah baik.
"Dalam konteks ini, takkan ada sebarang perubahan dasar luar terutama berkaitan Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Prabowo, 73, selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Perdana Menteri Serbia, Milos Vucevic; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.
Sementara itu, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berpandangan, pelantikan Prabowo berpotensi membawa beberapa kesan penting buat negara dari aspek ekonomi, keselamatan, pertahanan dan alam sekitar.
Menurutnya, fokus Prabowo terhadap kedaulatan ekonomi mungkin memberi impak kepada hubungan perdagangan Malaysia-Indonesia terutama industri minyak sawit kerana kedua-duanya adalah pesaing.
Katanya, dasar buruh mengenai pekerja Indonesia di negara ini mungkin berubah jika Prabowo mendesak peningkatan gaji atau hak pekerja yang boleh mengubah dinamik pasaran negara ini.
Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata, latar belakang ketenteraan Prabowo boleh memperkukuh kerjasama antara Malaysia-Indonesia terutama dalam keselamatan maritim dalam melawan keganasan.
"Dari aspek alam sekitar seperti krisis jerebu tahunan disebabkan kebakaran hutan di Indonesia bergantung kepada dasar alam sekitar kelolaan Prabowo.
"Jika beliau mengutamakan pembangunan berbanding perlindungan alam sekitar, negara mungkin terus berdepan cabaran pencemaran rentas sempadan.
"Keseluruhannya, Prabowo boleh membawa peluang kerjasama lebih kukuh atau potensi ketegangan meningkat, namun terpulang bagaimana kedua-dua negara mengendalikan ini,” ujarnya.