Arsenal bawa ‘kesakitan’ di Bournemouth berdepan Shakhtar

Iklan
Arteta Foto Agensi

ARSENAL berazam memanfaatkan kunjungan kelab liga Ukraine, Shakhtar Donetsk ke Stadium Emirates bagi saingan Liga Juara-Juara, sebagai pentas menebus kekecewaan diaibkan Bournemouth semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality sebelum ini.

Malah menurut pengendali Arsenal, Mikel Arteta, kekalahan pertama liga musim ini juga memberikan respons yang kuat kepada kelab utara London untuk berdepan kuasa bola sepak Ukraine yang lebih dikenali The Miners berkenaan.

Iklan
Iklan

Kekalahan 0-2 di Bournemouth menyebabkan permulaan positif The Gunners musim ini terhenti di kedudukan ketiga liga dengan 17 mata, empat di belakang pendahulu Liverpool dan tiga di belakang juara bertahan Manchester City.

Angkatan Arteta menerima kunjungan Shakhtar pada Rabu dengan keputusan seri tanpa jaringan di Atalanta dan kemenangan 2-0 di ke atas Paris Saint-Germain (PSG), meletakkan kelab England berkenaan di tangga ke-13 Liga Juara-Juara, empat mata hasil daripada dua perlawanan.

Iklan

Arahan keluar padang diterima William Saliba di Bournemouth juga menandakan kad merah ketiga Arsenal dalam lapan perlawanan liga selepas insiden Declan Rice (Brighton) dan Leandro Trossard (Manchester City).

Dan Arteta yang pernah berguru dengan Pep Guardiola di Manchester City mengakui The Gunners akan kehilangan mata setiap kali bermain dengan 10 pemain.

Iklan

"Kami tidak boleh terus bermain dengan 10 pemain, mari kita teruskan, ambil ‘kesakitan’ yang kita ada dan gunakannya malam esok (awal pagi Rabu).

"Dan kami juga perlu menghapuskan isu (kad merah), itu perkara jelas dan utama. Bagaimana caranya tidak penting. Kami juga perlu fokus,” kata Arteta.

Sebagai rekod, Shakhtar tidak menang dalam kempen Liga Juara-Juara selepas seri tanpa jaringan di Bologna dan tewas 0-3 kepada Atalanta.

LIGA JUARA-JUARA

RABU (23 OKTOBER)

AS Monaco lwn Red Star Belgrade, 12.45 tengah malam

AC Milan lwn Club Brugge, 12.45 tengah malam

Arsenal lwn Shaktar Donetsk, 3 pagi

Juventus lwn VfB Stuttgart, 3 pagi

Strum Graz lwn Sporting Lisbon, 3 pagi

Real Madrid lwn Borussia Dortmund, 3 pagi

Paris Saint-Germain lwn PSV Eindhoven, 3 pagi

Girona lwn Slovan Bratislava, 3 pagi

Aston Villa lwn Bologna, 3 pagi