PUSAT Borong GM Klang menyertai Big Sabah Sale 2024 edisi kedua bagi meneroka peluang perniagaan.
Acara tersebut akan berlangsung bermula 25 hingga 27 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 10 pagi sehingga 10 malam.
Pengurus Kanan Komunikasinya, Norsuhaida Othman berkata, dalam usaha meneroka pasaran Sabah, lapan pemborong telah terpilih untuk mempromosikan produk di bawah pavilion GM Klang.
Menurutnya, sebagai peneraju industri, mereka akan terus menyokong pemborong dalam meneroka peluang perniagaan baharu sambil memperluaskan pengaruh di Sabah yang mempunyai potensi pasaran cukup baik serta berkembang pesat.
"Sinonim dengan ungkapan ‘beli lebih banyak, lebih jimat’, pemborong kami sudah tentunya bakal menawarkan harga berbaloi kepada pengunjung bahkan dengan harga yang lebih istimewa yang menjadi sebahagian aktiviti dalam acara ini.
"Secara tidak langsung, pemborong kami juga berpeluang untuk mendapatkan pembeli berpotensi menjadi rakan niaga mereka yang akan berpusat di Sabah seperti dropshipper, ejen atau pemasaran afiliasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, menurut Norsuhaida Othman, antara pemborong yang dibawa oleh GM Klang ialah Elena Fashion, iGOZO, PQ Bagss, Boston Concept Store, Ato Z Fashion Wholesale, Omiso Global, Kiriman Kampung dan Pusat Borong Terlajak Murah.
Tambahnya, orang ramai yang hadir ke acara tersebut boleh mendapatkan pelbagai produk merangkumi barangan dekorasi rumah, snek makanan tradisional atau tempatan, aksesori, fesyen dan banyak lagi.
"Bagi mereka yang inginkan penjimatan lebih, anda semua dijemput untuk mengunjungi reruai pavilion GM Klang,” katanya.