KOTA BHARU - Laluan baharu Batik Air dari Subang SkyPark ke Kota Bharu yang melakukan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang bermula hari ini bakal merancakkan trafik pelancongan dan meningkatkan ekonomi Kelantan secara keseluruhan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Zameri Mat Nawang berkata, sebelum ini, Subang SkyPark tidak melakukan penerbangan terus ke LTSIP dan hanya mempunyai laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Beliau berkata, penerbangan sulung Batik Air ke LTSIP, yang membawa 76 penumpang dan tiba pada jam 7 malam Isnin, secara tidak langsung menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.
"Kelantan banyak dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara kerana negeri ini mempunyai pelbagai tarikan antaranya makanan, pasar besar untuk membeli-belah, alam semula jadi dan zon bebas cukai.
"Statistik pelancong setakat Jun lepas menunjukkan 1.2 juta pelancong tempatan berkunjung ke negeri ini dan menjadikan LTSIP antara lapangan terbang yang sibuk,” katanya kepada pemberita di balai ketibaan LTSIP di sini pada Isnin.
Pada 2 Oktober lepas, Batik Air mengumumkan pelancaran laluan itu yang menawarkan perjalanan lebih cepat dan selesa menggunakan pesawat Boeing 737.
Penerbangan ke Kota Bharu adalah perkhidmatan kedua Batik Air dari Subang SkyPark selepas kejayaan pelancaran laluan ke Pulau Pinang sekali gus bukti peningkatan ketara kepada rangkaian syarikat penerbangan itu yang beralih daripada turboprop kepada jet. - Bernama