DENGKIL - Cubaan seorang pemandu lori mengemukakan lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan barangan (GDL) palsu gagal apabila tindakan liciknya itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lori berkenaan ditahan semasa anggota JPJ menjalankan rondaan di kawasan di Plaza Tol Saujana Putra di sini pada Ahad.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori itu telah mengemukakan lesen CDL dan GDL palsu.
"Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori itu mendapatkan lesen tersebut menerusi pembelian dalam talian di media sosial.
"Harga bagi setiap lesen CDL dan GDL itu antara RM3,000 hingga RM5,000. Dia dipercayai telah menggunakan lesen tersebut sejak dua tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azrin berkata, pemandu lori berusia 28 tahun itu sebelum ini ada mengambil ujian komputer di sebuah institut memandu tetapi gagal.
"Disebabkan gagal dalam ujian, pemandu lori itu mengambil jalan mudah dengan membeli lesen secara dalam talian di media sosial.
"Pemandu lori itu juga menyatakan tidak menyimpan nombor telefon individu yang menawarkan lesen palsu terbabit," katanya.
Tambah beliau, untuk kesalahan memandu dengan lesen palsu, lori yang dipandu disita di bawah Seksyen 64(1) dan dibawa ke JPJ Shah Alam.
"Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 108 (3)(e) Pemalsuan Dokumen Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Jelas beliau, sekiranya didapati bersalah boleh didenda sehingga RM20,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang ramai boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.