GM Klang sertai Big Sabah Sale 2024 edisi kedua, terokai peluang perniagaan

Iklan

SHAH ALAM - Pusat Borong GM Klang akan menyertai Big Sabah Sale 2024 edisi kedua bagi meneroka peluang perniagaan di negeri berkenaan.

Acara tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) antara jam 10 pagi hingga 10 malam, pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Pengurus Kanan Komunikasinya, Norsuhaida Othman berkata, dalam usaha meneroka pasaran Sabah, lapan pemborong telah terpilih untuk mempromosikan produk di bawah pavilion GM Klang.

Menurutnya, sebagai peneraju industri, mereka akan terus menyokong pemborong dalam meneroka peluang perniagaan baharu sambil memperluaskan pengaruh di Sabah yang mempunyai potensi pasaran cukup baik serta berkembang pesat.

Iklan

"Ini juga merupakan sebahagian daripada visi kami untuk membawa GM Klang ke peringkat Asia dan meneguhkan hubungan perniagaan dengan komuniti peniaga bukan hanya di Sabah, malah dari negara-negara jiran seperti Brunei, Thailand, Indonesia serta Filipina."Sinonim dengan ungkapan ‘beli lebih banyak, lebih jimat’, pemborong kami sudah tentunya bakal menawarkan harga berbaloi kepada pengunjung bahkan dengan harga yang lebih istimewa yang menjadi sebahagian aktiviti dalam acara ini.

"Secara tidak langsung, pemborong kami juga berpeluang untuk mendapatkan pembeli berpotensi menjadi rakan niaga mereka yang akan berpusat di Sabah seperti dropshipper, agen atau pemasaran afiliasi,” katanya.

Iklan

Antara pemborong yang dibawa ialah Elena Fashion, iGOZO, PQ Bagss, Boston Concept Store, Ato Z Fashion Wholesale, Omiso Global, Kiriman Kampung dan Pusat Borong Terlajak Murah.