Merevolusi industri pembinaan melalui teknologi BIM

Iklan
Menepati kualiti, kos dan masa merupakan antara cabaran utama dalam memastikan kelancaran pembinaan sesebuah projek infrastruktur. Tidak terhenti di situ, aspek-aspek ini terus diberi perhatian meskipun projek siap dibina, diserahkan dan digunakan oleh pelanggan.

Cabaran yang tidak kurang penting dan sering terlepas pandang adalah aspek penyenggaraan bangunan atau projek yang siap dibina. Kerja-kerja menyenggara projek infrastruktur ini amat penting bagi menjamin jangka hayat di samping mengekalkan kualiti serta keindahan infrastruktur tersebut.

Menyentuh tentang kerja-kerja penyenggaraan mahupun pembinaan semula sesebuah infrastruktur, masalah yang seringkali dihadapi adalah ketiadaan maklumat bangunan asal, maklumat reka bentuk, struktur, mekanikal, elektrikal, utiliti dan sebagainya.

Maklumat-maklumat ini merupakan nadi kepada sesebuah bangunan atau projek infrastruktur bagi memastikan perancangan penyenggaraan menjadi lebih mudah, cepat dan dapat mengurangkan kos penyenggaraan secara keseluruhannya.

Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Jun 2024, beliau bersetuju supaya penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) diperluas kepada projek-projek kerajaan dan swasta.

BIM ialah proses yang melibatkan penjanaan representasi digital komprehensif dan pengurusan model tiga dimensi berinformasi tentang keseluruhan kitar hayat sebuah infrastruktur atau aset. Ini merangkumi komponen seni bina, struktur, mekanikal dan elektrikal.

Berbeza daripada cetakan biru dua dimensi tradisional, BIM membawa model digital dimensi baharu yang lebih komprehensif dan tepat yang membolehkan pihak pelanggan membayangkan projek secara interaktif dan meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan aset menyeluruh.

Langkah kerajaan menjadikan BIM sebagai dasar dalam industri pembinaan adalah langkah tepat pada masanya di kala negara bergerak ke arah pendigitalan dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Dasar BIM dalam industri pembinaan akan menjadi pemangkin kepada perubahan besar anjakan dari amalan tradisional kepada proses digital inovatif yang sedang mengubah cara projek direncanakan, dilaksanakan dan dikendalikan.

Integrasi alat digital bukan sekadar mengikut trend, ia adalah langkah strategik perjalanan transformasi ke arah meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kerjasama untuk membina masa depan sektor pembinaan yang lebih cerah.

Salah satu ciri istimewa BIM adalah kerjasama masa nyata. Arkitek, jurutera, kontraktor dan pihak yang berkaitan boleh bekerja di platform yang sama secara interaktif dan masa nyata, membuat kemas kini di mana pengubahsuaian segera dilihat oleh semua pihak.

Platform berasaskan ‘perkomputeran awan’ memudahkan perkongsian data projek secara interaktif, membenarkan pasukan bekerja bersama tanpa mengira lokasi fizikal mereka.

Ini meningkatkan keberkesanan komunikasi di mana semua pihak berkongsi pemahaman yang sama dan mengurangkan risiko kesilapan atau kecuaian yang boleh menyebabkan kelewatan serta peningkatan kos.

Dalam peringkat reka bentuk, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah diintegrasi dalam BIM untuk mengurus maklumat reka bentuk secara holistik, termasuk simulasi dan perancangan operasi jangka panjang.

Teknologi ini digunakan untuk menghasilkan reka bentuk yang optimum berdasarkan parameter tertentu seperti pemilihan bahan, penyediaan anggaran kos dan had keselamatan sesuatu reka bentuk.

Ini membolehkan visualisasi yang tepat, simulasi dan koordinasi membawa kepada keputusan yang lebih baik dan hasil projek yang lebih tepat, sekali gus membantu mencadangkan pelbagai pilihan reka bentuk yang lebih efisien, mengurangkan pembaziran bahan dan mengoptimumkan peruntukan sumber, menyumbang kepada amalan pembinaan yang lebih mampan dan kos efektif.

Dengan BIM menjadi sebuah dasar, diharapkan semua syarikat pembinaan di Malaysia akan menggunakan teknologi terkini termasuk BIM untuk mengoptimumkan setiap aspek operasi mereka.

Memperkenalkan teknologi baharu memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam penggunaannya. Program latihan dan inisiatif pembangunan kemahiran harus seiring supaya dapat memanfaatkan kan potensi teknologi sepenuhnya.

Diharapkan dengan usaha ini lebih ramai tenaga kerja tempatan akan terlibat di dalam industri pembinaan ini yang sering diklasifikasikan sebagai dirty, dangerous, difficult (3D). Inisiatif ini juga tentunya akan dapat mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan kepada pekerja asing.

Kemudahan myBIM

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa menyokong ekosistem digitalisasi negara lebih-lebih lagi menjadikan BIM sebahagian dari Dasar Pembinaan Negara.

Pelan Strategik JKR 2021-2025 menyasarkan untuk melaksanakan BIM dalam 90 peratus projek bernilai melebihi RM10 juta.

Antara tahun 2021 dan 2024, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berjaya mengintegrasikan BIM ke dalam 455 projek merangkumi pelbagai peringkat perancangan, reka bentuk dan pembinaan.

Usaha ini didukung melalui penubuhan Unit BIM di bawah Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu (CPAB) dan JKR pada tahun 2012 bagi mengadaptasi BIM dalam projek bangunan kerajaan secara berperingkat.

Unit BIM ditubuhkan di bawah Cawangan Jalan (CJ), JKR pada tahun 2018 bagi infra jalan raya. Unit ini juga menjadi sumber rujukan, khidmat nasihat dan perkongsian kepakaran kepada agensi kerajaan, pusat pengajian tinggi dan penggiat industri pembinaan.

Sebuah lagi agensi di bawah KKR iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melancarkan myBIM pada 20 November 2017 iaitu pusat sehenti pertama negara berfungsi sebagai pusat sumber untuk mempromosikan dan meningkatkan penggunaan BIM dalam kalangan penggiat industri pembinaan.

Pusat myBIM menyediakan kemudahan, peralatan dan perisian yang merangkumi bilik seminar dengan sistem audio visual yang lengkap bagi program latihan serta akreditasi kemahiran.

Selain itu, CIDB turut menyediakan Studio myBIM yang dilengkapi stesen kerja BIM dengan kapasiti 22 orang serta Makmal myBIM yang terdiri daripada bilik latihan dengan panel sentuh yang besar dan 20 stesen kerja.

Semua perisian dan peralatan BIM di pusat berkenaan ditawarkan secara sewaan harian bagi menggalakkan dan membolehkan penggiat industri memanfaatkan teknologi BIM tanpa perlu pelaburan yang tinggi.

Pada 13 Julai 2023, CIDB telah melancarkan National BIM eSubmission Initiative (NBeS) bersempena dengan Majlis Perasmian KL BIM Day 2023. Sistem NBeS merupakan penanda ukur bagi tahap kemajuan dalam sistem semakan dan kelulusan Pelan Bangunan oleh pihak berkuasa tempatan.

Sistem ini juga berpotensi menjadi salah satu sistem Pemeriksa Auto pertama di dunia. Melalui NBeS, pelan bangunan boleh diserahkan dan disemak secara digital melalui BIM bagi meningkatkan kecekapan proses kelulusan.

Antara projek di Malaysia yang telah dibina menggunakan BIM ialah Bangunan Merdeka 118, Kuala Lumpur; Institut Kanser Kebangsaan di Putrajaya dan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam, Selangor.

Projek lain ialah Educity Sports Complex di Nusajaya, Johor; Hotel Ancasa di Pekan dan Klinik Kesihatan 5 Maran, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan Meru Raya, Ipoh, Perak.

Terdapat enam institut pengajian tinggi di Malaysia menawarkan kursus dan fasiliti BIM seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Investment Holdings Sdn Bhd, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Swinburne Sarawak Sdn Bhd serta terdapat satelit BIM di enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) seluruh negara.

BIM juga dilihat mampu membantu kontraktor dan pemaju mengelakkan kos dan masa tambahan yang dihadapi sepanjang tempoh pembinaan. Selepas projek itu siap, sekali gus menjadikan industri itu lebih cekap, berkesan, fleksibel dan inovatif di samping meningkatkan produktiviti negara.

Kesimpulannya, industri pembinaan Malaysia sedang menyaksikan revolusi teknologi yang sedang membentuk perancangan di studio dan operasi di tapak.

Dron, teknologi augmented reality atau realiti terimbuh, sensor, dan peranti IoT secara kolektif menyumbang kepada peningkatan keselamatan, ketepatan dan kecekapan projek.

Hakikatnya, transformasi digital dan inovasi bukan sekadar kemewahan. Medium ini telah menjadi aspek penting dalam membina masa depan yang lebih cerah bagi industri pembinaan di Malaysia.

*Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya