449 kawasan risiko banjir di Terengganu

Iklan
Daerah Kuala Terengganu merekodkan sebanyak 97 lokasi sekali gus menjadi daerah tertinggi berisiko banjir. Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu mengenal pasti sebanyak 449 kawasan 'hotspot' banjir di Terengganu sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, kawasan tersebut dikenal pasti bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dilakukan sebelum berlakunya bencana tersebut.

Hanafiah

Iklan
Iklan

Menurutnya, daerah Kuala Terengganu merekodkan sebanyak 97 lokasi sekali gus menjadi daerah tertinggi berisiko banjir diikuti Hulu Terengganu (66 kawasan).

"Selain Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, daerah Setiu merekodkan sebanyak 58 kawasan banjir, Dungun (56), Kemaman (55), Kuala Nerus (48), Marang (35) dan Besut (34)," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Iklan

Hanafiah berkata, dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung.

Katanya, beberapa pelan tindakan telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL yang diadakan baru-baru ini.

Iklan

"Kerajaan negeri telah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal.

"Kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya limpahan air sekiranya fenomena air pasang besar berserta hujan lebat.

"Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila hujan lebat melebihi tempoh dua jam untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut melanda negara ini bemula pada awal November ini sehingga Mac 2025.

Berdasarkan ramalan itu, sepanjang November hingga Disember ini, cuaca dijangka lebih lembap di timur semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Dilaporkan juga fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.