KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi pasukan Flying Squad dari Pejabat Cawangan Bukit Bintang menurunkan 125 unit iklan haram di Jalan Syed Putra dalam operasi bersepadu di ibu negara.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, dan tiada kompromi ke atas perkara itu.
"Pemasangan iklan haram bukan sahaja mencemarkan pemandangan bandar raya, tetapi juga mengabaikan peraturan yang ditetapkan.
"Kepada mana-mana pihak yang masih ‘lupa’ atau sengaja ‘buat tak tahu’, DBKL ingin mengingatkan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
"Pastikan iklan anda mematuhi syarat-syarat dan memperoleh lesen yang sah, atau bersedia untuk melihatnya diturunkan," ujar pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan tersebut di laman Facebooknya.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan pemasangan iklan, sila hubungi DBKL untuk mendapatkan maklumat yang betul dan sah.