Pekerja warga asing maut jatuh dari tingkat lapan

Iklan
Mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat lapan semasa sedang melompat keluar dari kelengkapan akses gantung - Gambar hiasan

BAYAN LEPAS - Seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat lapan semasa keluar dari kelengkapan akses gantung jenis sementara (gondola) di sebuah tapak pembinaan di Bayan Lepas pada Selasa.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku jam 8.30 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sepasukan pegawai penyiasat dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian kemalangan tersebut.

"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja mengecat dan plaster di tapak pembinaan tersebut.

Iklan

"Mangsa dilaporkan telah terjatuh dari tingkat lapan semasa sedang melompat keluar dari kelengkapan akses gantung jenis sementara (gondola) ke tingkap tingkat lapan," katanya pada Selasa.

Difahamkan, notis pemberhentian serta merta ke atas penggunaan kelengkapan akses gantung jenis sementara (gondola) untuk kerja-kerja di tempat tinggi di kawasan kejadian di tapak pembinaan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Iklan

Pihak JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan dan membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

Dalam pada itu, JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti serta lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan," kata kenyataan itu.